Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey beri lampu hijau kepada Sweden untuk sertai Nato

Jul 11, 2023 | 2:53 PM
LANGKAH BERSEJARAH: Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan (kiri) dan Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson (kanan), berjabat tangan dengan disaksikan Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg, sebelum pertemuan mereka, pada malam sebelum sidang puncak Nato di Vilnius, Lithuania, pada Isnin.
LANGKAH BERSEJARAH: Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan (kiri) dan Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson (kanan), berjabat tangan dengan disaksikan Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg, sebelum pertemuan mereka, pada malam sebelum sidang puncak Nato di Vilnius, Lithuania, pada Isnin. - Foto REUTERS

VILNIUS: Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan, pada Isnin bersetuju mengusulkan kepada Parlimen negaranya hasrat Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan sekali gus menamatkan drama berbulan-bulan berhubung isu yang telah membebankan blok itu sedang perang melanda Ukraine.

Sweden dan Finland memohon keahlian Nato pada 2022 dan berhasrat melupuskan dasar kecuali ketenteraan mereka yang telah diamalkan sejak beberapa dekad Perang Dingin sebagai tindak balas kepada pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Walaupun keahlian Finland dalam Nato mendapat lampu hijau pada April, Turkey dan Hungary masih belum menjelaskan tawaran kepada Sweden itu.

Stockholm telah berusaha menyertai blok itu pada sidang puncak Nato di ibu kota Lithuania, Vilnius, yang bermula pada Selasa.

“Saya gembira untuk mengumumkan... bahawa Presiden Erdogan telah bersetuju untuk majukan protokol penyertaan Sweden ke sidang Parlimennya secepat mungkin dan memastikan ia mendapat pengesahan kelak,” kata Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg, sambil menyifatkannya sebagai langkah “bersejarah”.

Beliau telah menemui Encik Erdogan dan Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson, untuk berbincang pada malam sebelum sidang puncak itu dalam usaha mengakhiri kebuntuan.

Encik Erdogan sebelum ini menyatakan penyertaan Sweden bergantung kepada pelaksanaan perjanjian yang dicapai pada 2022 semasa sidang puncak Nato di Madrid dan bahawa tiada siapa yang harus mengharapkan kompromi daripada Ankara.

Turkey menuduh Sweden tidak melakukan secukupnya terhadap mereka yang dilihat Turkey sebagai pengganas, terutamanya anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang telah diharamkan dan dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Turkey, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

Encik Erdogan dan Encik Kristersson kelihatan santai menjelang pertemuan itu, dengan pemimpin Sweden itu bergurau tentang meletakkan pesawatnya di sebelah pesawat Turkey yang lebih besar di lapangan terbang Vilnius.

“Ini merupakan hari baik bagi Sweden,” kata Encik Kristersson kepada pemberita dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin mewakili “langkah yang sangat besar” ke arah pengesahan akhir keanggotaan Sweden dalam Nato.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara itu menyatakan bahawa Sweden telah mengulangi bahawa ia tidak akan memberikan sokongan kepada kumpulan Kurdi dan akan secara aktif menyokong usaha menghidupkan semula proses penyertaan Turkey dalam EU.

Encik Erdogan pada Isnin berkata EU harus membuka jalan untuk penyertaan Ankara ke blok itu sebelum Parlimen Turkey meluluskan tawaran Sweden untuk menyertai Nato.

Encik Stoltenberg berkata Encik Erdogan telah bersetuju mengusul ratifikasi di Parlimen “secepat mungkin,” tetapi beliau tidak dapat memberikan tarikh tertentu. Ia mengambil masa dua minggu bagi Parlimen Turkey menyokong dan mengesahkan keahlian Finland. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg