Topik diikuti
Pergi ke BHkuTurkey pecat 2,756 kakitangan di institusi awam atas dakwaan ada hubungan dengan pertubuhan 'pengganas'
Turkey pecat 2,756 kakitangan di institusi awam atas dakwaan ada hubungan dengan pertubuhan 'pengganas'
Turkey pecat 2,756 kakitangan di institusi awam atas dakwaan ada hubungan dengan pertubuhan 'pengganas'

ISTANBUL - Turkey pada Ahad (24 Disember) menyatakan seramai 2,756 orang dipecat daripada pekerjaan mereka di institusi awam, termasuk askar, guru dan kakitangan kementerian berhubung kaitan dengan pertubuhan "pengganas".
Mereka yang diberhentikan didapati menjadi anggota, atau dikaitkan dengan, kumpulan "pengganas", struktur dan entiti yang bertindak bertentangan dengan keselamatan negara, menurut suatu dekri yang diterbitkan dalam Warta Rasmi.
Kira-kira 50,000 orang telah ditangkap sejak percubaan rampasan kuasa yang gagal pada Julai tahun lalu dan kira-kira 150,000 telah dipecat atau digantung daripada jawatan mereka, termasuk tentera, polis, guru dan kakitangan awam, atas dakwaan ada hubungan dengan pergerakan ulama, Fethullah Gulen, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pemerintah Turkey menuduh Encik Gulen menganjurkan percubaan rampasan kuasa itu.
Encik Gulen, yang hidup dalam buangan di Pennsylvania sejak 1999, telah menafikan tuduhan itu dan mengutuk rampasan kuasa itu.
Kumpulan hak asasi dan beberapa sekutu Barat bimbang bahawa Presiden Recep Tayyip Erdogan menggunakan percubaan rampasan itu sebagai alasan untuk menindas perbezaan pendapat.
Pemerintah menyatakan tindakan keras itu perlu kerana keseriusan percubaan rampasan kuasa menyebabkan 240 orang terbunuh. - Reuters
