ANKARA: Lima orang terbunuh dan 22 lagi cedera dalam serangan yang berlaku di ibu pejabat Industri Aeroangkasa Turkey (Tusas) pada 23 Oktober.
Ia disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai serangan pengganas.
Serangan itu berlaku di Kahramankazan, berhampiran Ankara, dengan saksi melaporkan bunyi tembakan dan letupan kuat.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkey, Encik Ali Yerlikaya, kedua-dua penyerang yang terlibat dalam serangan itu berjaya dibunuh oleh pasukan keselamatan.
Dalam sidang media, beliau mengesahkan bahawa dua daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan genting, tiga dibenarkan keluar dari hospital manakala 19 lagi masih menerima rawatan.
Encik Yerlikaya menyatakan penyerang berkemungkinan besar adalah anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK), sebuah kumpulan yang diharamkan di Turkey.
“Gaya serangan ini menunjukkan bahawa ia kemungkinan besar dilakukan oleh PKK. Kami akan berkongsi maklumat yang lebih jelas selepas siasatan selesai,” tambahnya.
Susulan serangan itu, tentera udara Turkey melancarkan serangan udara terhadap sasaran PKK di utara Iraq dan Syria, yang menyaksikan 32 lokasi milik kumpulan tersebut dimusnahkan.
Kementerian Pertahanan Turkey dalam kenyataannya berkata, banyak anggota PKK dibunuh dalam serangan itu, dan operasi dijangka diteruskan dalam masa terdekat.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang menghadiri sidang Brics iaitu kumpulan negara yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan – di Kazan, Russia, bersama Presiden Vladimir Putin, mengecam serangan tersebut.
Encik Putin turut menyampaikan ucapan takziah kepada Encik Erdogan di atas kematian yang berlaku.
Beberapa negara antarabangsa termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah turut mengutuk serangan itu.
Saksi di lokasi kejadian memaklumkan bahawa pekerja di dalam bangunan Tusas telah dibawa ke tempat perlindungan oleh pihak berkuasa, dan tiada seorang pun dibenarkan keluar selama beberapa jam.
Mereka turut menyatakan bahawa letupan yang didengar mungkin berlaku di beberapa pintu keluar, ketika pekerja sedang bersiap untuk pulang.
Setelah keadaan terkawal, pemindahan kakitangan dari kawasan Tusas bermula dan bas dibenarkan meninggalkan kawasan itu.
Rakaman di televisyen menunjukkan imej pintu pagar yang rosak serta tembakan di kawasan tempat letak kereta.
Ia turut memperlihatkan dua penyerang bersenjata dengan senapang dan beg galas ketika mereka memasuki bangunan.
Tusas, pengeluar aeroangkasa terbesar Turkey, sedang membangunkan pelbagai projek termasuk jet tempur pertama negara, KAAN, selain menghasilkan helikopter dan pesawat latihan.
Firma itu mempunyai lebih 10,000 pekerja dan dimiliki oleh Yayasan Angkatan Tentera Turkey serta pemerintah.
Ketua Setiausaha Nato, Encik Mark Rutte, mengecam serangan tersebut dan menegaskan bahawa Nato akan terus berdiri teguh bersama sekutunya, Turkey. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg