LONDON: Penggodam mencuri alamat e-mel lebih 200 juta pengguna Twitter dan memuat naiknya ke sebuah forum penggodaman dalam talian, kata seorang penyelidik keselamatan Rabu lalu.
Encik Alon Gal berkata pelanggaran keselamatan itu "malangnya akan membawa kepada lebih banyak penggodaman, pancingan data tersasar dan doxxing (mendedahkan data orang lain dalam talian".
Beliau, yang juga pengasas bersama firma pemantauan keselamatan siber Israel Hudson Rock, menyifatkannya sebagai "antara kebocoran paling penting yang pernah saya lihat".
Twitter belum mengulas mengenai laporan itu, yang Encik Gal siarkan di media sosial pada 24 Disember, mahupun menjawab pertanyaan mengenai pelanggaran keselamatan itu sejak tarikh tersebut.
Tidak jelas apakah tindakan, jika ada, yang telah diambil Twitter untuk menyiasat atau membetulkan isu itu.
Reuters tidak dapat secara bebas mengesahkan bahawa data di forum itu adalah sahih dan datang daripada Twitter.
Tangkap layar forum penggodaman itu, tempat data berkenaan muncul Rabu lalu, telah disebar secara meluas dalam talian.
Encik Troy Hunt, pencipta tapak pemberitahuan pelanggaran Have I Been Pwned, melihat data yang bocor itu dan berkata di Twitter bahawa ia kelihatan "sama seperti yang digambarkan".
Tiada petunjuk mengenai identiti atau lokasi penggodam di sebalik pelanggaran keselamatan itu.
Ia mungkin berlaku seawal 2021, iaitu sebelum Encik Elon Musk mengambil alih syarikat tersebut tahun lalu.
Dakwaan mengenai saiz dan skop pelanggaran itu berbeza-beza, dengan laporan awal bulan lalu mengatakan 400 juta alamat e-mel dan nombor telefon dicuri.
Pelanggaran besar di Twitter mungkin menarik minat pengawal selia di kedua-dua belah Atlantik.
Suruhanjaya Perlindungan Data di Ireland, tempat Twitter mempunyai ibu pejabatnya di Eropah, dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat memantau syarikat milik Encik Musk itu bagi pematuhan peraturan perlindungan data Eropah dan sebuah perintah keizinan Amerika.
Pertanyaan yang dibuat kepada kedua-dua pengawal selia itu kelmarin belum dijawab. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg