Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

UAE senarai 8 entiti di UK, 19 individu sebagai pengganas

Jan 9, 2025 | 1:17 PM
Orang ramai berjalan di Festival Warisan Sheikh Zayed sambil menantikan pertunjukan bunga api dan dron sempena sambutan malam tahun baru di Abu Dhabi pada 31 Disember 2024 sedang pemerintah Amirah Arab Bersatu (UAE) menyenaraikan 19 individu dan entiti di United Kingdom dalam senarai pengganas tempatan.
Orang ramai berjalan di Festival Warisan Sheikh Zayed sambil menantikan pertunjukan bunga api dan dron sempena sambutan malam tahun baru di Abu Dhabi pada 31 Disember 2024 sedang pemerintah Amirah Arab Bersatu (UAE) menyenaraikan 19 individu dan entiti di United Kingdom dalam senarai pengganas tempatan. - Foto AFP

DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyenaraikan 11 individu dan lapan entiti yang berpangkalan di United Kingdom (UK) ke dalam senarai pengganas tempatan atas tuduhan mempunyai kaitan dengan organisasi Ikhwanul Muslimin, yang ditetapkan UAE sebagai organisasi pengganas.

Resolusi tersebut meluluskan penyertaan 19 individu dan entiti dalam senarai individu serta organisasi yang menyokong kegiatan pengganasan, mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara tersebut.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UAE, di peringkat tempatan dan antarabangsa, untuk menyasarkan dan memusnahkan rangkaian yang terlibat dalam pembiayaan pengganas dan kegiatan berkaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Institusi kewangan dan badan kawal selia diarahkan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” kata satu kenyataan rasmi.

Senarai individu yang dimasukkan termasuk warga UAE dan warganegara pelbagai negara lain, seperti Sweden, Turkey dan Yaman.

Manakala lapan entiti yang berpangkalan di UK yang disenaraikan ialah Cambridge Education and Training Center Ltd; IMA6INE Ltd; Wembley Tree Ltd serta Waslaforall.

Semua entiti itu berpangkalan di United Kingdom dan didapati mempunyai kaitan dengan pengganasan yang dibiayai oleh rangkaian luar UAE.

Terdahulu siasatan yang dijalankan oleh Pendakwa Raya Awam UAE pada Ogos 2024 mendedahkan pembentukan kumpulan rahsia baru di luar negara oleh ahli Ikhwanul Muslimin UAE, yang telah dibubarkan pada 2013.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, kumpulan itu berusaha menghidupkan semula kegiatan Ikhwanul Muslimin dengan mendapatkan rekrut baru dan dana dari dalam serta luar negara.

“Seorang anggota yang ditangkap mengakui struktur dan kegiatan kumpulan ini, termasuk usaha mereka untuk menyebarkan propaganda anti-UAE,” kata kenyataan terdahulu.

Kumpulan itu didapati menjalankan kempen memburukkan nama baik UAE di peringkat antarabangsa, memberikan maklumat palsu kepada kumpulan hak asasi manusia dan menghasut tindakan menentang institusi rasmi.

Kumpulan rahsia itu juga bekerjasama dengan organisasi lain dalam sektor media, ekonomi dan pendidikan untuk mendapatkan pembiayaan.

Salah satu entiti utama yang terlibat ialah Cordoba Foundation (TCF), yang telah diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas sejak 2014.

“Mereka menggunakan identiti palsu untuk memperdaya pihak antarabangsa, menghasut kebencian dan mengatur demonstrasi menentang UAE di hadapan kedutaan,” tambah kenyataan siasatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg