BULAN suci Ramadan adalah masa untuk refleksi diri dan perkembangan kerohanian

Masyarakat Islam di merata dunia termasuk di Amerika bersatu hati untuk mengamalkan kemaafan dan kebingkasan, bagi menunjukkan keihsanan dan sikap murah hati buat golongan yang memerlukan, semangat memberi dan meraikan keberkatan hidup bersama yang tercinta.

Menyampaikan pesanan demikian dalam satu kenyataan Rumah Putih yang dikongsi Kedutaan Amerika di Singapura kepada media pada Sabtu (2 April), Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dan isterinya Cik Jill Biden, mengucapkan 'Selamat Menyambut Ramadan' buat masyarakat Islam di Amerika dan serata dunia.

"Tahun ini, kesederhanaan masa berbuka puasa akan menjadi satu peringatan lebih menyentuh jiwa mengenai kegembiraan kesihatan, keluarga dan masyarakat.

"Dan kita akan terus simpan dalam hati kita ingatan pada semua keluarga yang bersedih kerana kehilangan orang tersayang yang tidak lagi mengisi ruang kosong di meja makan," jelas Encik Biden.

Dalam dunia terus membangun semula segalanya hasil kesan pandemik ini, kesemua penduduknya harus meneruskan usaha bersatu hati dengan mereka yang menderita dan memerlukan di merata dunia, golongan yang berdepan dengan penganiayaan atau kesulitan hidup, tambah beliau.

"Sebagaimana ajaran Al-Quran, "sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah pun akan melihat hasilnya".

"Setiap hari, kita melihat kisah meremuk hati tentang nyawa yang terkorban serta gambaran keluarga dan kanak-kanak yang bergelut demi penakatan.

"Tragedi ini mengingatkan kita tentang kebiasaan sikap kemanusiaan kita - dan ajaran yang biasa ditekankan semua agama dan kepercayaan termasuk Islam - bahawa kita harus lakukan sesuatu kepada orang lain sebagaimana kita ingin diperlakukan.

"Dalam bulan mulia ini, sedang umat Islam di mana-mana menghormati belas kasihan Tuhan, marilah kita juga memperbaharui komitmen bersama untuk menunjukkan budi baik, keihsanan dan persefahaman terhadap satu sama lain.

"Marilah kita menghormati kebenaran yang ringkas tetapi mendalam bahawa semua orang setara dalam maruah dan hak. Kerana itu, Amerika Syarikat akan terus bersuara tentang hak kemanusiaan di mana-mana - termasuk buat golongan Uyghurs di China, Rohingya di Burma, dan masyarakat Islam lain merata dunia," katanya.