Topik diikuti
Pergi ke BHkuUK sertai 128 negara gesa had veto PBB dalam kes genosid, kekejaman
UK sertai 128 negara gesa had veto PBB dalam kes genosid, kekejaman
NEW YORK: Britain menyertai inisiatif yang menggesa lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak menggunakan kuasa veto untuk menyekat tindakan dalam kes kekejaman besar-besaran, termasuk pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Langkah itu menjadikan Britain anggota tetap kedua Majlis Keselamatan selepas Perancis yang menyokong inisiatif berkenaan, ketika kebuntuan dalam badan paling berkuasa PBB itu semakin mendapat perhatian susulan beberapa konflik besar dunia.
Inisiatif yang diperkenalkan Perancis dan Mexico pada 2015 itu kini mendapat sokongan 128 negara, menurut kenyataan bersama Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, dan rakan sejawatannya dari Mexico, Encik Roberto Velasco, pada 21 September.
Jumlah itu hanya kurang satu negara untuk mencapai sokongan dua pertiga daripada 193 negara anggota PBB.
Cadangan tersebut meminta lima anggota tetap Majlis Keselamatan, Amerika Syarikat, Britain, China, Perancis dan Russia secara sukarela tidak menggunakan veto apabila berlaku kekejaman besar-besaran seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang berskala besar.
Britain mengumumkan sokongannya dalam satu pertemuan peringkat menteri di New York sempena Perhimpunan Agung PBB.
“Britain berbangga menyertai inisiatif ini dan kekal komited terhadap penggunaan veto secara bertanggungjawab,” kata Pejabat Luar Britain.
Menurut Kedutaan Britain di Mexico, London tidak menggunakan kuasa vetonya sejak 1989 dan melihat penyertaannya dalam inisiatif itu sebagai sokongan kepada keamanan, keselamatan serta tindakan pelbagai hala yang lebih berkesan.
Kuasa veto membolehkan mana-mana daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan menggagalkan sesuatu ketetapan, walaupun ia mendapat sokongan majoriti anggota lain.
Keadaan itu berulang kali menyebabkan Majlis Keselamatan gagal mencapai persetujuan mengenai beberapa krisis utama dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama apabila kepentingan lima kuasa besar itu bertembung.
Amerika, misalnya, beberapa kali menggunakan veto terhadap ketetapan berkaitan Israel dan Gaza.
Pada September 2025, Washington memveto ketetapan yang antara lain menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza serta pembebasan tebusan yang ditahan Hamas dan kumpulan Palestin lain.
Amerika juga menggunakan veto pada April 2024 bagi menghalang usaha membolehkan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.
Russia dan China turut menggunakan kuasa veto mereka dalam isu lain, termasuk berkaitan Iran.
Perancis dan Mexico berkata sokongan Britain memberi dorongan baru kepada usaha mereka untuk mengelakkan veto daripada menghalang tindakan Majlis Keselamatan ketika berdepan kekejaman besar-besaran.
Dalam tempoh empat bulan lalu sahaja, 21 negara dari Afrika, Amerika Latin dan Caribbean serta Asia menyatakan sokongan kepada inisiatif itu.
“Dengan menyokong pengisytiharan politik ini, negara-negara menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan Majlis Keselamatan dapat melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab utamanya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata Encik Barrot dan Encik Velasco.
Meskipun sokongan terhadap inisiatif itu semakin meluas, ia tidak akan menghapuskan kuasa veto yang termaktub dalam Piagam PBB.
Komitmen berkenaan bersifat sukarela dan tidak mengikat dari segi undang-undang, termasuk sekiranya sokongannya mencapai dua pertiga daripada keseluruhan anggota PBB.
Matlamatnya sebaliknya adalah untuk meningkatkan tekanan politik terhadap anggota tetap supaya tidak menggunakan veto ketika Majlis Keselamatan perlu bertindak terhadap kekejaman berskala besar.
Pegawai dan diplomat yang menyokong usaha tersebut berharap penerimaan lebih meluas akan meningkatkan kos politik bagi mana-mana kuasa besar yang memilih menggunakan veto dalam keadaan sedemikian.
Perancis sebelum ini menyasarkan untuk mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga negara anggota menjelang Perhimpunan Agung PBB pada 2026.
Dengan Britain kini menyertainya, Perancis dan Mexico berkata mereka akan meneruskan usaha mendapatkan sokongan lebih banyak negara, selain memperkukuh langkah mencegah serta menghentikan kekejaman besar-besaran.
Sokongan London juga membawa makna tersendiri kerana buat pertama kalinya dua daripada lima negara yang memiliki kuasa veto Britain dan Perancis kini secara terbuka menyokong komitmen sukarela untuk mengehadkan penggunaannya dalam keadaan tertentu.
Tiga lagi anggota tetap, Amerika, Russia dan China, setakat ini tidak menyertai inisiatif tersebut. – Agensi berita.
