KYIV: Ukraine telah membawa 307 kanak-kanak keluar dari wilayah yang diduduki Russia, kata ombudsman hak asasi manusia negara itu pada Isnin, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang baru-baru ini bersatu semula dengan neneknya.

Ombudsman adalah penguasa atau pegawai rasmi ataupun separuh rasmi yang ditubuhkan bagi menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa jua perkara berkaitan dengan pentadbiran pemerintah.

Pihak berkuasa Ukraine menganggarkan lebih 16,000 kanak-kanak telah dihantar pulang ke Russia sejak permulaan perang pada 2022.

Russia berkata, ia telah memindahkan orang secara sukarela dari Ukraine.

"Pada penghujung Februari, pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia menerima permintaan untuk membantu membawa pulang seorang kanak-kanak yang berada di wilayah yang diduduki sementara oleh Russia," kata Encik Dmytro Lubinets, seorang ombudsman, menerusi wadah pesanan Telegram.

"Dalam beberapa hari, dengan bantuan dan usaha kakitangan pejabat ombudsman, Sashko bertemu neneknya."

Pejabat Ombudsman tidak mendedahkan butiran mengenai operasi itu.

Kebanyakan pergerakan orang berlaku dalam beberapa bulan pertama perang, sebelum Ukraine memulakan serangan balas utamanya untuk mendapatkan semula wilayah yang diduduki di timur dan selatan pada akhir Ogos.

Kementerian Pertahanan Russia berkata pada pertengahan Ogos tahun lalu, kira-kira 3.5 juta orang telah dibawa ke Russia ketika itu, termasuk lebih daripada setengah juta kanak-kanak.

Menurut pejabat Ketua Pendakwa Ukraine, sejumlah 464 kanak-kanak mati setakat ini dalam perang, kini dalam bulan ke-13 tanpa penghujungnya, manakala polis menganggarkan bahawa 356 masih hilang.

Moscow telah menafikan sengaja menyasarkan orang awam dalam apa yang dipanggil sebagai "operasi ketenteraan khas" di Ukraine, dan telah menolak dakwaan sebelumnya bahawa ia telah memindahkan warga Ukraine secara paksa.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskiy, berkata panglima tentera tertinggi negara itu berikrar untuk terus mempertahan bandar Bakhmut yang kini dikepung Russia.

"Kedua-dua jeneral enggan berundur, sebaliknya mahu menguatkan (pertahanan kami).

"Saya memberitahu ketua komander untuk mencari pasukan yang sesuai, membantu pasukan kita di Bakhmut," katanya ketika berucap pada Isnin malam.

Moscow pula berharap dapat meraikan kemenangan terbesar pertama dalam tempoh lebih setengah tahun dengan menguasai sepenuhnya wilayah timur Ukraine dan bertekad untuk mengukuhkan pertahanan mereka.

Di tengah beberapa pertempuran paling berdarah dalam pencerobohan yang berlarutan lebih setahun itu, Moscow berkata matlamat menawan bandar itu adalah langkah ke arah matlamat utamanya untuk merampas sepenuhnya wilayah Donbas. - Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti