KYIV: Menteri Luar Ukraine bertemu utusan khas China ke Kyiv pada Rabu, menegaskan bahawa negara yang dilanda perang itu tidak akan menerima rancangan damai yang tertakluk kepada menyerahkan wilayah selepas pencerobohan Russia.

Utusan China, Encik Li Hui, sedang berusaha mempromosikan rundingan yang diketuai Beijing untuk menyelesaikan konflik perang dan beliau adalah diplomat China paling kanan untuk melawat Ukraine sejak Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022.

China, sekutu rapat Moscow, tidak mengutuk secara terbuka pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dan Menteri Luar Ukraine, Encik Dmytro Kuleba, berkata bahawa keamanan bergantung kepada "menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine".

Dalam pertemuannya dengan Encik Li, Encik Kuleba "menegaskan bahawa Ukraine tidak menerima sebarang cadangan yang akan melibatkan kehilangan wilayahnya" atau "pembekuan konflik".

Pertemuan mereka diadakan ketika Presiden Turkey, Encik Tayyip Recep Erdogan, mengumumkan perjanjian bijirin Laut Hitam disambung untuk tempoh dua bulan lagi.

Encik Erdogan membuat pengumuman perjanjian bijirin sehari sebelum ia dijangka tamat.

Perkara itu diumumkan Encik Erdogan ketika membuat ucapan rasmi selepas kapal terakhir meninggalkan pelabuhan Ukraine.

"Perjanjian bijirin Laut Hitam telah dilanjut tempoh selama dua bulan dengan usaha Turkey," katanya menerusi ucapan di televisyen.

Encik Erdogan mengucapkan terima kasih kepada "rakan berharganya" Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, rakan sejawatannya dari Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskyy, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, atas peranan mereka dalam melanjutkan perjanjian itu.

PBB dan Turkey menjadi perantara dalam perjanjian bijirin Laut Hitam untuk tempoh 120 hari sejak Julai 2022.

Ini bagi menangani krisis makanan dunia yang terbantut ekoran pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, yang merupakan pengeksport bijirin terkemuka di dunia.

Moscow sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan perjanjian berkenaan untuk tempoh 120 hari namun Mac lalu, negara berkenaan hanya bersetuju untuk melanjut perjanjian selama dua bulan sahaja sebelum berakhir pada Khamis, kecuali eksport pertanian dipenuhi.

Bagi meyakinkan Russia untuk meneruskan eksport bijirin di Laut Hitam, PBB bersetuju namun dalam masa sama perlu membantu Moscow membuat penghantaran hasil pertanian selama tiga tahun.

Perjanjian antara Ukraine dengan Russia itu, yang diusahakan Turkey bersama PBB, membolehkan lebih 11 juta tan bijirin serta produk pertanian lain dibawa keluar dari pelabuhan Ukraine. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti