KUALA LUMPUR: UMNO telah mengambil pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi tumpuan terhadap agenda membantu rakyat dan negara yang berdepan dengan pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.
Berita Harian Malaysia melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu turut melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.
"Saya ingin menekankan beberapa pendirian UMNO antaranya mengarahkan kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha membantu rakyat.
"Tumpuan juga adalah untuk meringankan beban ditanggung rakyat akibat dampak ekonomi dan pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (21 Oktober).
Datuk Zahid turut menegaskan kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidakstabilan ekonomi negara.
UMNO menerusi mesyuarat Biro Politik parti itu sebelum ini mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong PN.
Parti itu turut meletakkan syarat baru melalui perjanjian bertulis yang perlu dilaksanakan segera jika kerjasama dalam gabungan itu ingin diteruskan. - BHM


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg