
KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno kesembilan terjamin untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Ini berikutan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei ini.
Datuk Ahmad Zahid, presiden Umno yang dipilih pada 2018, sudah mengumumkan sebelum ini mahu mempertahankan jawatan nombor satu parti Melayu yang mempunyai keanggotaan lebih 3.4 juta orang.
Dengan keputusan PAU itu, kedudukan timbalan beliau Datuk Seri Mohamad Hassan juga terjamin untuk tempoh yang sama.
Naib Presiden Umno, Datuk Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan usul berkenaan diterima perwakilan. Katanya undian dijalankan melalui kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan.
Satu sumber memberitahu BeritaMinggu usul tersebut diterima majoriti perwakilan dengan jumlah yang hadir pada PAU 2022 adalah 2,648 orang.
Semalam, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dilapor gamat selepas perwakilan Negeri Sembilan, Encik Mohd Shukri Shamsudin mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan laungan suara 'setuju', selain ada kumpulan perwakilan dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan 'boo'.
Wakil Wilayah Persekutuan misalnya menolak usul tambahan tersebut kerana sekiranya diluluskan, ia boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap Umno.
Jurucakapnya yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, berkata kesannya bukan saja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati tindak tanduk Umno.
"Sekiranya dua jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif." katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg