Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Umno masih perlu sokongan parti lain bentuk kerajaan

Apr 27, 2022 | 05:30 AM



DENGAN menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri (PM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti, tidak akan memberi jaminan Umno dan Barisan Nasional (BN) memenangi sejumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk pemerintah.



Umno dan BN masih memerlukan sokongan parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk memungkinkan membentuk sebuah pemerintah yang mantap selepas pertukaran pemerintah sejak PRU14 yang merekodkan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal.



Memang tidak dinafikan, berdasarkan prestasi dalam Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka dan Johor jelas, kedudukan Umno sudah berubah berbanding PRU14 yang mencatatkan rekod prestasi buruk sejak memerintah Malaysia lebih 63 tahun lepas.



STRATEGI UMNO



Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir, berpandangan Umno perlu bijak mencatur strategi tarikh PRU15 diadakan kerana berdasarkan kepada sentimen pengundi semasa ini yang pasti, Umno akan dapat melakar prestasi yang lebih baik daripada 2018.



Menurutnya, momentum yang ada perlu dipertahankan semasa rakyat kecewa dengan prestasi dan janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak ditunaikan, dan pada masa yang sama sebagai peneraju pemerintah parti tersebut mempunyai peluang untuk mengatur strategi terbaik bagi memastikan keputusan memihak kepadanya.



Pada masa yang sama, Dr Jeniri percaya langkah Umno menamakan Datuk Ismail Sabri sebagai 'poster boy' parti tersebut sedikit sebanyak strategi itu akan dapat memberi keyakinan kepada para pengundi, apatah lagi kini sentimen rakyat adalah terhadap Umno dan BN.



"Umno perlu membuat kompromi dengan segera mengemukakan nama calon PM untuk PRU15 nanti. Dengan menamakan Datuk Ismail Sabri sebagai calon ini akan dapat menepis sebarang prasangka dan tanggapan negatif terhadap parti itu.



"Apatah lagi, sebelum ini terdapat keraguan kemungkinan pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah akan menjadi PM. Dengan langkah itu, akan dapat memastikan terdapat keyakinan untuk Umno dan BN melangkah ke hadapan menghadapi PRU nanti.



"Sudah pasti adalah agak ganjil untuk tidak mengemukakan beliau sebagai calon PM. Dengan menamakan calon PM lebih awal, ini juga memberi gambaran akan keyakinan MT (Majlis Tertinggi) Umno terhadap keupayaan Datuk Ismail Sabri untuk menerajui parti itu dalam PRU nanti," katanya kepada Berita Harian.



HELAH PERCEPAT PILIHAN RAYA



Timbul pula persoalan ada pihak mendakwa pencalonan Datuk Ismail Sabri itu sebagai helah Umno untuk mendesak PM mempercepatkan PRU15 sebaik sahaja Memorandum Persefahaman (MOU) pemerintah dan PH tamat pada 31 Julai ini.



Dr Jeniri berpendapat ini bukan helah untuk memerangkap Datuk Ismail Sabri supaya menyegerakan PRU, pertama, kerana beliau sebagai pemimpin dan anggota Umno perlu sedar dan akur kepada resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno pada Mac lepas.



Kedua, tambah Dr Jeniri, Datuk Ismail Sabri perlu akur kepada keputusan yang dibuat oleh MT, dan ketiga, amatlah penting untuk beliau bertindak realistik dengan mengambil kira sentimen semasa dalam kalangan rakyat dan pengundi.



Menurut beliau masa mengadakan PRU amat penting terutama mengambil kira prestasi BN dalam PRN Melaka dan Johor, sudah pasti, beliau perlu mengambil kira faktor ini.



MAMPU MENANG BESAR



Penganalisis Politik Negara dan Serantau, Felo Penyelidik Kanan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur, Profesor Madya, Dr Baharuddin Aziz, berpandangan Umno mampu menang besar pada PRU15 nanti sekiranya solidariti dalam kalangan pemimpin wujud dan mempunyai halatuju dan pelan pembangunan mampan, para pemimpin perlu seia sekata, senada seirama dalam apa bentuk pendekatan bagi menghadapi pilihan raya.



Berikutan itu, tambah Dr Baharuddin, pemimpin veteran harus memberi laluan kepada golongan muda yang berkaliber untuk meneruskan perjuangan demi kebaikan negara dan masyarakat buat masa kini dan di masa masa hadapan.



"Umno jangan sombong dan angkuh. Inilah penyakit Umno yang perlu dibendung. Jangan asyik nak saman rakyat saja. Buangkan sifat egois yang tinggi. Setiap kementerian yang diterajui oleh pemimpin Umno perlu ada lebih banyak program untuk merancakkan kembali sosio-ekonomi negara, program jalinan rakyat, dan skim bantuan dana kewangan dan geran demi kemakmuran untuk semua.



"Selain itu, pemimpin Umno di semua peringkat perlu sentiasa berkomunikasi dengan rakyat. Pelan dan strategi komunikasi perlu baik untuk mengelakkan kekeliruan dan spekulasi dalam kalangan rakyat sehingga menimbulkan tanggapan yang negatif," katanya menjawab soalan Berita Harian mengenai perkembangan semasa politik Umno dan BN.



KEPUTUSAN SECARA KOLEKTIF



Semasa ditanya pemilihan Datuk Ismail Sabri sebagai calon PM PRU15 dan bukannya presiden atau timbalan presiden Umno, menurut Dr Baharuddin keputusan itu telah dibuat mengikut beberapa lapisan perbincangan dan sesi percambahan pemikiran atau permukiman dalam Umno sendiri.



Tambah beliau, keputusan itu telah melalui proses tertentu dan sejauh pengetahuan beliau, apa-apa keputusan yang dibuat telah dibincang di peringkat Biro Politik, kemudian Jawantankuasa Pengurusan dan kemudian dibawa ke pengetahuan Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno untuk perbincangan selanjutnya.



"Hal ini saya sendiri tahu, sebab saya sendiri berada dalam satu mesyuarat khas bersama Setiausaha Agung Umno sebelum mesyuarat peringkat Jawatankuasa Pengurusan Umno diadakan. Bukan seorang sahaja, presiden atau timbalan presiden, yang membuat keputusan untuk mencalonkan Datuk Ismail Sabri sebagai PM ke-10 pada PRU15 nanti.



"Justeru, barang siapa yang nak pertikaikan keputusan itu yang didakwa keputusan yang berbentuk 'dictator', maka pertikaian itu meleset sama sekali kerana keputusan dibuat berlandaskan 'collective decision making process' (proses membuat keputusan secara kolektif)," tambah beliau.



Bagaimanapun, menurut Dr Baharuddin beliau tidak pasti strategi meletakkan Datuk Ismail Sabri sebagai 'poster boy' mampu memikat minda dan sokongan para pengundi terutama ramai di luar sama yang merupakan pengundi atas pagar.



Menurutnya, pengundi di atas pagar melihat dari sudut perkembangan terkini sekali gus pada berpendapatnya bahawa banyak lagi perkara yang harus dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri sekiranya beliau benar-benar ingin menambat hati dan minda para pengundi.




“Umno perlu membuat kompromi dengan segera mengemukakan nama calon PM untuk GE15 nanti. Dengan menamakan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calonl, ini akan dapat menepis sebarang prasangka dan tanggapan negatif terhadap parti itu. Apatah lagi, sebelum ini terdapat keraguan kemungkinan pemimpin yang berdepan dengan kes mahkamah akan menjadi PM. Dengan langkah itu, akan dapat memastikan terdapat keyakinan untuk Umno dan BN melangkah ke hadapan menghadapi GE nanti. Sudah pasti adalah agak ganjil untuk tidak mengemukakan beliau sebagai calon PM. Dengan menamakan calon PM lebih awal, ini juga memberi gambaran akan keyakinan MT (Majlis Tertinggi) Umno terhadap keupayaan Datuk Ismail Sabri untuk menerajui parti itu dalam GE nanti.”
– Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >