KUALA LUMPUR: Permintaan Umno agar Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pemberian pengampunan penuh diraja kepada bekas presidennya, Encik Najib Razak, tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dan komponen lain dalam kerajaan perpaduan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan parti itu membuat permintaan tersebut semata-mata menunjukkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada bekas perdana menteri atas kepimpinan sembilan tahun beliau sebelum kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2018.

"Hubungan dengan PH dalam kerajaan perpaduan bukan satu isu. (Perkara itu) terserah kepada Agong; ini mengenai Umno menghantar (permintaan) pengampunan kepada Agong," katanya kepada sebuah portal dalam talian.

Datuk Mohamed Khaled mengulangi kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa rayuan Majlis Tertinggi Umno bagi pengampunan diraja untuk Encik Najib dilakukan kerana parti itu percaya beliau telah dinafikan keadilan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau berada dalam Lembaga Pengampunan berkaitan kes tersebut.

Namun, beliau menegaskan tidak timbul konflik kepentingan dalam hal itu kerana ada proses yang perlu diikuti dan keputusan akhir adalah di bawah kuasa Agong.

Difahamkan, Datuk Anwar berada dalam lembaga itu bukan atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri tetapi bagi menjaga portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.

Di bawah Perkara 42(5) Lembaga Pengampunan membabitkan Peguam Negara, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab (Perkara 42(11) dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Agong.

Encik Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 setelah disabitkan kesalahan pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International sebanyak RM42 juta ($12.7 juta).

Beliau juga telah disaman RM210 juta.

Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Encik Najib untuk menyemak semula sabitannya menyalahgunakan dana SRC International.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan bahawa bekas perdana menteri itu tidak dinafikan hak untuk perbicaraan yang adil dan oleh itu permohonannya untuk kebenaran memulakan semakan harus ditolak.

Beliau juga berkata beliau tidak menemui apa-apa dalam bahan yang diketengahkan kepada mahkamah yang mencadangkan bahawa pasukan pembelaan Encik Najib, yang telah dirombak tiga minggu sebelum rayuan, memohon penangguhan sebagai sebahagian daripada "helah" atau "strategi" untuk menangguhkan pendengaran. - Agensi berita.