KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dipilih Umno sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya umum Malaysia akan datang.
"Majlis tinggi Umno sebulat suara menyarankan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya umum ke-15 akan datang," menurut setiausaha agung parti itu Ahmad Maslan dalam satu kenyataan kelmarin.
Datuk Seri Ismail telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos tahun lalu.
Ini setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memegang jawatan itu sebelumnya, meletak jawatan setelah gagal meraih sokongan majoriti di Parlimen.
Setelah Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan, kesemua 220 anggota parlimen diminta mengemukakan akuan berkanun yang menetapkan calon perdana menteri pilihan mereka kepada istana.
Seramai 114 anggota parlimen memilih Datuk Seri Ismail Sabri, langsung memberikannya sokongan majoriti dengan mudah.
Menurut kenyataan Umno itu lagi, majlis tinggi pertubuhan itu, yang dipengerusikan presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memutuskan bahawa memorandum persefahaman antara pemerintah dengan Pakatan Harapan tidak seharusnya diteruskan.
Meskipun demikian, setiausaha agung Umno berkata parti itu akan terus menyokong pembentangan rang undang-undang yang mengelakkan peralihan dari parti ke parti dan ia tidak akan bertolak ansur dengan parti yang menghalang pelaksanaan rang undang-undang itu.