KUALA LUMPUR: Parti terbesar dalam pakatan kerajaan Perikatan Nasional, Umno, telah memutuskan untuk menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menggesa peletakkan jawatan perdana menteri itu.

Mengumumkan demikian awal Khamis (8 Julai), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa Tan Sri Muhyiddin telah gagal memenuhi syarat-syarat yang digariskan Umno apabila parti itu memberi sokongan kepada beliau untuk memegang jawatan Perdana Menteri Mac lalu, antaranya untuk memimpin pemulihan ekonomi negara dan menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baru dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Tan Sri Muhyiddin bagaimanapun tidak menyebut mengenai kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahupun mengenai parti pakatan lain termasuk kedudukan gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS.

"Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta merta.

"Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad," katanya ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat itu. - Agensi Berita.