Topic followed successfully
Go to BHkuUmno yakin pilihan raya diadakan antara Okt-Dis
Umno yakin pilihan raya diadakan antara Okt-Dis
Berdasarkan ucapan Ismail Sabri sentuh pembubaran Parlimen dalam masa terdekat
Umno yakin pilihan raya diadakan antara Okt-Dis
PETALING JAYA: Keyakinan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan tahun ini, telah diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan beliau yang menyentuh tentang pembubaran Parlimen dalam masa terdekat, kata setiausaha agung Umno, Datuk Ahmad Maslan.
"Umno yakin PRU15 akan diadakan antara Oktober dengan Disember tahun ini. Tetapi seharusnya sebelum musim banjir.
"Jika banjir dijangka pada Disember, maka jangan diadakan (PRU15).
"Pilihan raya boleh juga diadakan pada November. Jika diadakan pada November, ini bermakna (Parlimen) harus dibubarkan pada Oktober," katanya kelmarin, seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Pada Sabtu lalu, semasa berucap dalam majlis pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional di Kuala Lumpur, Datuk Seri Ismail membayangkan bahawa PRU15 bakal diadakan secepat mungkin, lapor akhbar The Star.
Beliau juga dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya akan segera membincangkan dengan "lima pemimpin tertinggi" parti mengenai pembubaran Parlimen.
Lima pemimpin yang dimaksudkan ituialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan tiga lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri sendiri.
Datuk Ahmad Maslan juga mengesahkan bahawa mesyuarat "lima pemimpin tertinggi" itu akan diadakan pada 30 September seperti yang dijadualkan.
Gambaran yang tular di media sosial ialah kerajaan akan membubar Parlimen pada 14 Oktober dan PRU15 akan diadakan pada 27 November dengan hari penamaan calon pada 12 November.
Sidang Puncak Asean tahun ini akan berlangsung di Kemboja pada 10-13 November, sementara sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dijadualkan pada 18 November di Bangkok, Thailand.
Perdana Menteri Malaysia selalunya menyifatkan kedua-dua sidang puncak itu sebagai acara diplomatik yang penting dan akan menghadirinya.
Justeru, para pemerhati agak meragui tentang tarikh PRU15 yang diuar-uarkan itu, lapor akhbar Lianhe Zaobao.
Dalam pada itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata ia akan membuat petisyen membantah kemungkinan PRU15 diadakan dalam musim tengkujuh.
Timbalan Presiden parti itu, Encik Rafizi Ramli, berkata langkah itu bagi menunjukkan rasa kurang senang orang ramai terhadap Umno yang mahu mengambil risiko mengadakan pilihan raya semasa musim banjir hujung tahun, lapor akhbar The New Straits Times pula.
Petisyen online itu, yang akan diadakan seminggu dari sekarang, cuba menggesa Kerajaan Persekutuan supaya lebih menumpukan perhatian kepada persediaan menghadapi banjir di negara itu.
"Tragedi banjir baru-baru ini, yang mengakibatkan kerugian harta benda dan nyawa, harus dijadikan suatu pengajaran kepada parti-parti politik supaya jangan mengabaikan isu-isu perubahan iklim.
"Jika ahli-ahli politik seperti (Datuk Seri) Zahid masih enggan mengambil pengajaran ini, wajarlah kita mendidik Umno dan kepimpinannya tentang pentingnya mengutamakan kepentingan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, Datuk Seri Zahid sudah tidak tahu tentang kenyataan yang dihadapi rakyat apabila mengatakan pada Sabtu lalu bahawa Barisan Nasional (BN) bersedia meredah banjir jika PRU15 diadakan.
Dalam jawapannya, Datuk Seri Zahid berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengadakan pilihan raya semasa musim tengkujuh pada 1999.
Katanya, Pembangkang cuba menghasut orang ramai kononnya mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh mendedahkan mereka kepada risiko banjir. - ST.

