WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan baru terhadap Taleban sebagai hukuman di atas penindasan terhadap wanita dan remaja perempuan di Afghanistan.
Setiausaha Negara AS, Encik Anthony Blinken mendedahkan dasar sekatan visa baru untuk anggota semasa atau bekas anggota Taleban dan lain-lain yang terlibat dalam menindas wanita melalui dasar sekatan dan keganasan.
Encik Blinken membuat pengumuman itu pada Hari Kanak-kanak Perempuan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) kelmarin.
"Sebagai contoh yang suram, selama lebih setahun, Afghanistan kekal sebagai satu-satunya negara di dunia di mana kanak-kanak perempuan dilarang secara sistemik daripada menghadiri sekolah selepas darjah enam, tanpa tarikh kembali ke sekolah yang jelas," kata Encik Blinken.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menggesa Taleban membuka semula sekolah menengah bagi remaja perempuan di seluruh Afghanistan, selain mengutuk larangan bermula setahun lalu dan menyifatkan ia sebagai 'tragis dan memalukan'.
Beberapa minggu selepas Taleban merampas kuasa pada Ogos tahun lalu, ia membuka semula sekolah menengah untuk lelaki pada 18 September 2021, tetapi melarang pelajar perempuan di sekolah menengah daripada menghadiri kelas.
Kementerian Pendidikan membuka sekolah menengah untuk perempuan pada 23 Mac lalu, namun kepimpinan Taleban mengarahkan kelas ditutup semula, beberapa jam kemudian.
Pemangku Ketua Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA), Encik Markus Potzel, dalam kenyataan berkata sejak itu, lebih sejuta remaja perempuan tidak dibenarkan bersekolah.
Beberapa pegawai Taleban berkata, larangan itu hanya sementara, selain memberi pelbagai alasan antaranya kekurangan dana dan keperluan untuk mengubah suai sukatan pelajaran berpandukan Islam.
Menteri pendidikan awal sebelum ini dipetik media tempatan sebagai berkata, ia adalah isu budaya, kerana ramai penduduk luar bandar tidak mahu anak perempuan mereka bersekolah.
Selain menutup sekolah menengah untuk perempuan, Taleban juga menghalang wanita daripada menyertai banyak pekerjaan pemerintah dan mengarahkan mereka bertudung, sebaik-baiknya burqa, di khalayak ramai.
Beberapa sekolah menengah untuk perempuan masih dibuka di wilayah yang jauh dari pangkalan kuasa pusat Kabul dan Kandahar kerana tekanan daripada keluarga dan ketua puak. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg