NEW YORK: Sekolah yang terpaksa ditutup, meningkatnya kemiskinan, perkahwinan paksa dan kemurungan - setelah setahun berlakunya wabak Covid-19 - penunjuk yang mengukur perkembangan anak kecil dan golongan remaja sedunia semuanya mengalami kemunduran.
Perangkaan itu boleh menyebabkan stigma berkekalan buat seluruh generasi, Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) memberi amaran semalam.
"Jumlah kanak-kanak yang lapar, terpencil, dianiaya, berasa cemas, hidup dalam kemiskinan dan dipaksa untuk berkahwin telah meningkat," kata Cik Henrietta Fore, pengarah eksekutif Unicef, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tepat satu tahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan Covid-19 sebagai wabak.
"Akses mereka kepada pendidikan, pergaulan dan perkhidmatan penting termasuk kesihatan, pemakanan dan perlindungan telah menurun.
"Tanda-tanda bahawa kanak-kanak akan mengalami kesan wabak selama bertahun-tahun akan datang tidak dapat disangkal," kata Cik Fore dalam kenyataan itu.
Berdepan dengan kesan yang "begitu menjejaskan" seperti itu, Cik Fore menggesa agar "kanak-kanak diberi keutamaan dalam proses pemulihan, terutama dengan mengutamakan sekolah dalam rancangan membuka semula kegiatan negara".
Unicef memberi beberapa perangkaan membimbangkan untuk menyokong kenyataan Cik Fore.
Walaupun wabak itu telah memberi kesan besar kepada warga tua, kanak-kanak dan remaja di bawah usia 20 tahun membentuk 13 peratus daripada 71 juta kes koronavirus yang dilaporkan di 107 negara yang memberikan data khusus usia.
Di negara membangun, unjuran menunjukkan peningkatan kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak sebanyak 15 peratus.
Tambahan enam hingga tujuh juta kanak-kanak boleh mengalami kekurangan zat makanan pada 2020, peningkatan 14 peratus yang dapat menyebabkan lebih 10,000 kematian tambahan setiap bulan, terutama di kawasan Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan.
Bagi 168 juta pelajar di seluruh dunia, sekolah ditutup hampir setahun.
Sepertiga daripada pelajar tersebut tidak mempunyai akses ke pendidikan dalam talian.
Akibat daripada sekolah yang ditutup dan keadaan ekonomi yang semakin buruk, wabak ini juga boleh menyebabkan perkahwinan 10 juta kanak-kanak pada 2030, tambahan kepada 100 juta gadis yang sudah pun dianggap berisiko untuk berkahwin pada waktu itu.
Sekurang-kurangnya satu daripada tujuh kanak-kanak atau remaja telah menghabiskan sebahagian besar tahun lalu di bawah sekatan perjalanan, meningkatkan rasa gelisah, kemurungan dan pengasingan.
Selain itu, koronavirus itu juga telah menyebabkan penangguhan kempen vaksinasi terhadap penyakit lain - bermula dengan campak - di 26 negara, meningkatkan ancaman terhadap kesihatan orang yang tidak diimunisasi. - AFP.