NEW YORK: Universiti Columbia pada 13 Mac berkata ia telah menjatuhkan pelbagai hukuman terhadap para pelajar yang menduduki bangunan kampus pada musim bunga lalu semasa protes pro-Palestin.
Pengumuman itu dibuat seminggu selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa ia telah membatalkan geran dan kontrak persekutuan bernilai AS$400 juta (S$543 juta) sebagai respons kepada apa yang dikatakan sebagai tindak balas buruk universiti tersebut terhadap anti-semitisme di kampus.
Presiden sementara Columbia, Cik Katrina Armstrong, menyifatkan kebimbangan pentadbiran itu sah dan berkata pihaknya kini bekerjasama dengan pemerintah untuk menanganinya.
Tunjuk perasaan dan protes balas pro-Israel di kampus New York itu telah menimbulkan dakwaan antisemitisme, Islamofobia dan perkauman.
Universiti itu berkata dalam satu kenyataan pada 13 Mac bahawa lembaga kehakimannya “mengenakan sekatan kepada pelajar terlibat daripada penggantungan berbilang tahun, pembatalan ijazah sementara dan pemecatan” berkaitan dengan pendudukan di Dewan Hamilton universiti tersebut pada musim bunga lalu.
Lembaga kehakiman terdiri daripada pelajar, fakulti dan kakitangan yang dipilih oleh senat universiti.
Universiti itu, memetik sekatan privasi undang-undang, tidak mengeluarkan nama pelajar yang dikenakan tindakan disiplin, dan juga tidak menyatakan berapa ramai pelajar yang dikenakan hukuman.
Namun, para pelajar terjejas masih boleh membuat rayuan.
Kesatuan yang mewakili pekerja pelajar Columbia, UAW Local 2710, berkata dalam satu kenyataan bahawa presidennya, Encik Grant Miner, adalah antara pelajar yang telah dikenakan tindakan, hanya sehari sebelum rundingan kontrak dengan universiti dimulakan, satu tindakan yang disifatkan kesatuan sekerja sebagai “serangan terbaru terhadap hak Pindaan Pertama”.
Jurucakap universiti tidak mempunyai sebarang komen mengenai kenyataan kesatuan itu.
Columbia adalah pusat protes anti-Israel yang kemudiannya merebak ke beberapa universiti di Amerika.
Demonstrasi bermula selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dan seterusnya serangan Israel yang disokong Amerika ke atas Gaza. Penunjuk perasaan menuntut agar pihak universiti melepaskan diri daripada kepentingan Israel dan Amerika serta menamatkan bantuan ketenteraan kepada Israel.
Pentadbiran Presiden Trump telah berikrar mengambil tindakan keras terhadap apa yang dilabel sebagai penunjuk perasaan pro-Hamas.
Pada hujung minggu, ejen imigresen persekutuan menahan pelajar Columbia Encik Mahmoud Khalil, seorang ketua protes pada 2024, yang pentadbiran Encik Trump cuba untuk menghantarnya pulang ke negara asalnya.
Namun, pengusiran Encik Khalil telah disekat buat sementara waktu oleh hakim persekutuan. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg