SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Urutan perkembangan tubuh kerajaan baru

Urutan perkembangan tubuh kerajaan baru

Nov 22, 2022 | 5:30 AM

Urutan perkembangan tubuh kerajaan baru

-

KEGAGALAN sebarang gabungan parti untuk meraih majoriti mudah, atau 112 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, menyebabkan parlimen tergantung sejak Hari Mengundi pada Sabtu lalu.

Menambah kepada ketidaktentuan dan kekeliruan, ada juga pihak membuat pengumuman, yang kadangkala bercanggah.

Berikut rumusan urutan perkembangan membentuk kerajaan baru setakat ini.

  1. 20 NOVEMBER

3 pagi: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pihaknya telah memiliki jumlah kerusi parlimen yang mencukupi untuk menubuh kerajaan dan akan mengadakan perbincangan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tan Sri Muhyiddin juga berkata pihaknya sudah menerima surat daripada Istana Negara dan akan menyempurnakan kehendak Yang di-Pertuan Agong.

3.30 pagi: Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya telah mendapat majoriti yang dikehendaki untuk menubuhkan kerajaan. Namun, beliau enggan mendedahkan perincian lanjut.

8 pagi: Tan Sri Muhyiddin dan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, bertemu Pengerusi GPS, Abang Johari Openg, untuk membincangkan pembentukan kerajaan baru.

10 pagi: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memohon supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'berjiwa besar' dan meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

Menurut beliau, imej Datuk Zahid yang dicemari dakwaan rasuah telah membuat orang Melayu menolak Umno.

Menyusuli itu, beberapa pemimpin Umno yang lain, seperti Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, dan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, mengulangi gesaan tersebut.

1.15 petang: Istana Negara menerima keputusan rasmi PRU15 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata dokumen yang dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, menyatakan dengan jelas tiada parti politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru.

2.30 petang: Yang DiPertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah mengumumkan gabungan parti politik diberi masa sehingga 2 petang semalam (21 November) untuk menamakan calon Perdana Menteri pilihan dan butiran lain yang diperlukan untuk menubuh kerajaan.

6 petang: GPS mengumumkan persetujuannya untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dan PN untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusinya Abang Johari Openg berkata ia menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai calon perdana menteri. GPS memenangi 22 kerusi parlimen di PRU15.

7.55 malam: Datuk Ahmad Zahid berkata BN tidak berunding dengan PN atau GPS untuk membentuk kerajaan bersama.

8.20 malam: Tan Sri Muhyiddin berkata dakwaan Datuk Ahmad Zahid tidak menghalang PN untuk membentuk kerajaan melalui sokongan daripada ahli Parlimen dan ia tetap akan mengemukakan akuan berkanun kepada Istana Negara pada 21 November.

9.30 malam: Menjawab pertanyaan media, Datuk Anwar berkata PH masih mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

  1. 21 NOVEMBER

10 pagi: Pemimpin kanan dari PH dan BN dilihat tiba di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur. Ini termasuk ketua BN Datuk Ahmad Zahid dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, serta pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Negara (Amanah) Encik Mohamad Sabu.

11.15 pagi: Bercakap di sidang media, Datuk Ahmad Zahid berkata 26 Anggota Parlimen BN hadir di Seri Pacific dan pihaknya belum membuat sebarang rundingan rasmi dengan mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan baru.

Sebarang perjanjian yang dibuat oleh ahli BN untuk menyokong calon Perdana Menteri parti lain adalah tidak sah. Beliau juga meminta Istana Negara melanjutkan tempoh penyerahan dokumen

12 tengah hari: Gambar Datuk Ahmad Zahid dan Datuk Ismail Sabri bertemu Datuk Anwar diterbitkan di media sosial oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai, Encik Fahmi Fadzil. PH telah menjalankan kempen PRU15 berasaskan peri penting menentang rasuah dan tokoh politik 'penyamun' di BN.

1.30 petang: Istana Negara mengumumkan tempoh menyerahkan nama calon bagi membentuk kerajaan negara dilanjutkan sehingga 2 petang semalam, atas permintaan ketua parti-parti politik.

1:45 petang: Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN mendapat sokongan majoriti lebih 112 Anggota Parlimen (AP) dan telah menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada Istana Negara.

2:45 petang: Datuk Anwar memberi pengesahan beliau telah mengadakan rundingan dengan tujuh pemimpin BN, termasuk Datuk Ahmad Zahid dan Datuk Ismail Sabri bagi membentuk kerajaan.

Beliau berkata rundingan itu amat menggembirakannya, kerana kededua BN dan PH bersetuju untuk mengutamakan kestabilan politik dan memberi tumpuan kepada usaha membangun semula ekonomi dan membentuk kerajaan inklusif.

3.42 petang: Ketua setiausaha PH, Encik Saifuddin Nasution Ismail, berkata kenyataan Datuk Hamzah adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg