PERDANA Menteri Britain, Encik Boris Johnson, berdepan pelbagai dakwaan bahawa beliau, kakitangannya dan sebilangan penjawat awam melanggar peraturan Covid-19 sedang jutaan rakyat Britain perlu mematuhi peraturan itu.
Berikut beberapa siri kejadian yang kemudian digelar sebagai 'partygate' oleh pihak media negara itu.
Encik Johnson bergambar dengan wain dan keju bersama Cik Carrie Johnson, kini isterinya, dan sekitar 20 kakitangan di taman Downing Street, menurut gambar yang dihantar kepada The Guardian.
Penolong kanan Encik Johnson, Encik Martin Reynolds, mengundang kakitangan untuk "memanfaatkan sepenuhnya cuaca indah dan mengadakan acara menikmati minuman di taman..."
Media ITV News, yang mendapat salinan e-mel jemputan itu, melaporkan 40 kakitangan berada di taman itu.
Encik Johnson dan Cik Carrie kedua-duanya hadir, menurut beberapa laporan, walaupun beberapa kakitangan melahirkan keprihatinan bahawa perhimpunan itu melanggar peraturan sekatan Covid-19.
Penasihat kontroversi Encik Dominic Cummings dipecat.
Beliau mendakwa telah diadakan satu "pesta riuh-rendah" pada malam itu di apartmen Downing Street milik pasangan Encik Johnson dan Cik Carrie.
England ketika itu berada dalam sekatan kedua, dan perhimpunan tertutup seperti itu dilarang.
Encik Johnson memberi ucapan di satu acara di Downing Street yang diadakan sempena pemberhentian seorang penolong beliau.
Daily Mirror melaporkan sehingga 50 orang bersesak-sesak dalam satu bilik.
Makanan bufet disediakan dalam satu gambar yang disiarkan akhbar The Times yang menunjukkan kakitangan Parti Konservatif dalam suasana perayaan di ibu pejabat parti.
Parti tersebut berkata perhimpunan itu "tidak dibenarkan" dan mendisiplinkan sebilangan mereka yang hadir.
Encik Johnson dirakam gambarnya sedang duduk di antara dua kakitangan semasa acara kuiz Zoom Krismas. Beliau menegaskan ia acara kerja.
Satu acara sosial didakwa telah berlangsung dengan dihadiri kakitangan di Pejabat Kabinet.
Satu lagi pesta diadakan di Downing Street, menurut Daily Mirror, mendorong penafian pihak kerajaan.
Tetapi satu video yang kemudiannya diperoleh ITV News menunjukkan setiausaha akhbar Encik Johnson ketika itu, Cik Allegra Stratton, bergurau tentang acara itu pada satu sidang akhbar olok-olok.
Dua pesta "memabukkan" berlaku pada malam sebelum pengebumian Putera Philip, suami Ratu Elizabeth, ketika negara itu sedang dalam tempoh berkabung rasmi, lapor The Daily Telegraph.
Encik Johnson dikatakan tidak hadir pada acara itu, di mana alkohol telah diseludup ke Downing Street dalam beg pakaian.
Pihak Downing Street kemudiannya meminta maaf kepada Ratu Elizabeth. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg