Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah takut jika diugut penjenayah 'taruh dalam kocek': Polis M'sia

Jul 11, 2016 | 10:10 AM
Penjenayah 'taruh dalam kocek' dikatakan menyasarkan terutamanya warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau yang berada di stesen sistem rel ringan (LRT).
Penjenayah 'taruh dalam kocek' dikatakan menyasarkan terutamanya warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau yang berada di stesen sistem rel ringan (LRT). - GAMBAR FAIL THE STAR

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Malaysia menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya oleh penjenayah 'taruh dalam kocek' yang menuduh mangsa mencuri barang peribadi mereka sebagai helah untuk peras ugut.

Sasaran mereka dikatakan terutamanya warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau yang berada di stesen sistem rel ringan (LRT), lapor agensi berita Bernama, yang memetik amaran yang disebar di media sosial.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar Khalid menasihatkan orang ramai supaya jangan berasa takut jika mereka menghadapi keadaan seperti itu, kata laporan tersebut.

"Sekiranya sesiapa datang kepada anda dan menuduh anda mencuri, jangan takut, bawa saja mereka ke balai polis berhampiran," beliau dipetik sebagai berkata.

"Jangan cuba menyelesaikan perkara itu sendiri kerana mereka tidak akan berani pergi ke balai polis," katanya.

Penjenayah 'taruh dalam kocek' dilaporkan memasukkan barang seperti telefon bimbit atau dompet ke dalam kocek mangsa di tempat sesak di sekitar Kuala Lumpur.

Mereka kemudian menuduh mangsa, yang tidak menyedari perbuatan mereka, mencuri barang itu dan meminta mangsa membayar sejumlah wang atau dilaporkan kepada polis.

Mangsa biasanya bersetuju memberi wang kepada mereka kerana ketakutan, lapor Bernama.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Penolong Pesurujaya Kanan Rusdi Mohd Isa, dipetik sebagai berkata polis belum menerima sembarang laporan mengenai penipuan itu.

"Pemeriksaan dengan stesen Dang Wangi dan Brickfields mendapati tiada kes dilaporkan kepada polis," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg