Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah terlepas pandang tangani perubahan iklim segera: Grace Fu

Menteri sampaikan kenyataan kebangsaan S'pura mengenai tindakan negara dalam sidang COP27
Nov 17, 2022 | 5:30 AM
TANGANI PERUBAHAN IKLIM: Cik Fu menyampaikan ucapan di persidangan iklim COP27 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AFP
TANGANI PERUBAHAN IKLIM: Cik Fu menyampaikan ucapan di persidangan iklim COP27 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AFP -

SHARM EL-SHEIKH (MESIR): Bumi berada di persimpangan dan sedang berdepan dengan banyak isu mendesak.

Namun, ia penting bagi negara agar tidak terlepas pandang tentang keperluan untuk menangani perubahan iklim dengan segera, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, kelmarin.

Dalam satu ucapan di persidangan iklim COP27 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beliau berkata perhimpunan wakil dari hampir 200 negara adalah penting.

"Pilihan kita hari ini akan menentukan masa depan kita," katanya sewaktu menyampaikan kenyataan kebangsaan Singapura mengenai tindakan iklim Republik ini.

"Singapura menyeru komitmen, pelaksanaan dan kerjasama bagi tindakan global yang tegas dalam dekad ini untuk memastikan 1.5 darjah Celsius kekal dalam jangkauan."

Panel sains iklim PBB berkata dunia perlu mengehadkan kenaikan suhu purata global kepada 1.5 darjah Celsius melebihi paras praperindustrian supaya dapat mengelak kesan perubahan iklim yang membawa bencana, lapor akhbar The Straits Times.

Dunia sudah pun semakin panas sebanyak 1.2 darjah Celsius dan sedang berdepan dengan jauh lebih banyak ribut serta banjir yang membawa kemusnahan, kebakaran hutan serta gelombang panas yang membawa maut, dan paras laut yang meningkat dengan lebih cepat.

Pemanasan global boleh mencapai 1.5 darjah Celsius sekiranya pengeluaran gas rumah hijau kekal pada tahap sekarang.

Cik Fu berkata Singapura telah memperkukuh strategi pengeluaran gas rumah hijau bagi jangka panjang agar mencapai pengeluaran sifar bersih menjelang 2050.

Singapura juga mengemas kini sumbangannya yang ditentukan secara nasional di bawah Perjanjian Paris dengan berikrar untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kepada 60 juta tan menjelang 2030, setelah mencapai kadar tertinggi pada sekitar 65 juta tan antara 2025 dengan 2028.

Cik Fu berkata sasaran Singapura adalah cita-cita tinggi. Ia juga bergantung pada kematangan teknologi penyahkarbonan serta komitmen antarabangsa yang berkesan oleh seluruh dunia.

Di COP27, Singapura akan menyertai beberapa gabungan, termasuk Kerjasama Pemimpin Hutan dan Iklim, yang bertujuan menyediakan kepimpinan politik mengenai iklim, penggunaan darat dan hutan serta melaksanakan huraian yang mengurangkan kehilangan hutan, meningkatkan pemulihan dan menyokong pembangunan mampan.

Singapura juga merupakan sebahagian daripada Pengisytiharan Bersama daripada Pengimport dan Pengeksport Tenaga mengenai mengurangkan pengeluaran daripada bahan api fosil.

Kumpulan itu, yang juga terdiri daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun, Canada dan Norway, memberi tumpuan kepada mengurangkan pengeluaran metana dan keperluan untuk mempercepatkan peralihan global kepada tenaga bersih.

Dari segi kredit karbon, Singapura dan Ghana telah bersetuju untuk membangunkan dan memperdagangkan kredit karbon, yang boleh membantu kedua-dua negara mengurangkan kesan perubahan iklim.

Ini akan membolehkan syarikat di Singapura membeli kredit karbon daripada projek yang mengurangkan pengeluaran untuk mengimbangi sebahagian tanggungan cukai karbon mereka.

Perjanjian pelaksanaan itu akan ditandatangani pada awal 2023, dan akan membolehkan pemindahan kredit karbon secara dua hala sejajar dengan Artikel 6 Perjanjian Paris.

"Pilihan kita hari ini akan menentukan masa depan kita. Singapura menyeru komitmen, pelaksanaan dan kerjasama bagi tindakan global yang tegas dalam dekad ini untuk memastikan 1.5 darjah Celsius kekal dalam jangkauan." - Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg