
KATHMANDU: Pasukan penyelamat Nepal semalam meneruskan pencarian empat orang yang masih hilang selepas satu nahas pesawat paling maut di negara Himalaya itu dalam 30 tahun, kata pegawai.
Pasukan penyelamat telah menemui 68 mayat daripada 72 orang di dalam pesawat ATR 72 yang dikendalikan Yeti Airlines itu, yang terhempas di bandar pelancongan Pokhara beberapa minit sebelum mendarat dalam cuaca cerah kelmarin.
Pesawat dalam penerbangan berjadual dari ibu kota Kathmandu ke Pokhara, pintu masuk ke banjaran gunung Annapurna yang indah, itu membawa 57 warga Nepal, lima warga India, empat warga Russia, dua warga Korea Selatan, dan setiap seorang dari Argentina, Ireland, Australia dan Perancis.
Pegawai polis Pokhara Ajay K.C. berkata operasi mencari dan menyelamat, yang terhenti kerana kegelapan kelmarin, telah disambung semula.
"Kami akan mengeluarkan lima mayat dari gaung dan mencari baki empat yang masih hilang," katanya kepada Reuters.
Sebanyak 63 mayat telah dihantar ke hospital, ujar beliau.
Pasukan penyelamat juga sedang mencari kotak hitam - perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan - sedang mereka mencari mangsa terselamat, kata Encik Jagannath Niroula, jurucakap pihak berkuasa penerbangan awam Nepal.
Nepal mengisytiharkan semalam sebagai hari perkabungan negara dan telah membentuk sebuah panel untuk menyiasat bencana itu serta mencadangkan langkah-langkah mengelakkan kejadian sedemikian pada masa hadapan.
Pihak berkuasa berkata mayat akan diserahkan kepada keluarga selepas pengecaman dan pemeriksaan.
Media India pula melaporkan sebuah video yang dikatakan menunjukkan saat-saat akhir penerbangan malang itu kini tular
Menurut NDTV, video yang disebarkan di media sosial itu menunjukkan rakaman penumpang sedang duduk di dalam pesawat dan pemandangan luar tingkap sedang pesawat itu berlegar di udara.
Tiba-tiba rakaman itu menunjukkan letupan dan keadaan menjadi tunggang terbalik.
Saat-saat terakhir menunjukkan api semarak di luar tingkap dan pekikan penumpang dapat didengar.
Namun, NDTV berkata ia belum dapat mengesahkan sumber video tersebut.
Sebuah lagi video yang tersebar di media sosial menunjukkan percubaan pesawat itu mendarat namun ia tiba-tiba tergolek ke kiri dan terbalik sebelum terhempas.
Terdapat lima penumpang warga India dalam pesawat itu, semuanya dari Ghazipur di Uttar Pradesh.
Salah seorang daripada mereka, Encik Sonu Jaiswal, nampaknya sedang membuat siaran Facebook Live sejurus sebelum penerbangan itu terhempas.
Beliau antara mangsa yang terkorban. Video sama ditemui di akaun Facebooknya, yang belum disahkan.
Encik Abhishek Pratap Shah, seorang bekas anggota parlimen Nepal dan anggota jawatankuasa Pusat Kongres Nepal, yang menghantar rakaman video itu, memberitahu NDTV beliau menerima rakaman tersebut daripada seorang rakan dan ia ditemui di tapak nahas kelmarin.
"Ia dihantar oleh salah seorang rakan saya yang menerimanya daripada anggota polis.
"Ia adalah rekod sebenar. Ia ada-lah video hari ini (semalam) ketika pesawat sedang mendarat," kata Encik Shah kepada NDTV dalam temu bual eksklusif.
Kerja menyelamat dijangka diteruskan esok dan pencarian kotak hitam pesawat sedang dijalankan, yang dijangka menjelaskan punca nahas itu.
Pokhara terletak hanya 25 minit penerbangan dari Kathmandu.
Hampir 350 orang maut sejak 2000 dalam nahas kapal terbang atau helikopter di Nepal - lokasi lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest.
Perubahan cuaca boleh secara tiba-tiba menyebabkan keadaan berbahaya di negara itu. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg