MIAMI: Pasukan mencari dan menyelamat di tapak bangunan kondominium di bandar tepi laut Surfside, Florida, yang runtuh kelmarin, mendengar bunyi berdentam-dentum, tetapi tidak mendengar suara manusia, sedang usaha pencarian berterusan hingga malam.
Percarian mangsa hidup telah beralih ke struktur tempat letak kereta bawah tanah di bawah timbunan runtuhan tidak stabil di utara Miami Beach, di tapak bangunan 12 tingkat itu.
Sedang keluarga mangsa hilang semakin terdesak bagi mendapatkan jawapan, kru pencarian berusaha mencari di pelbagai tempat yang mungkin ada mangsa, menggunakan kamera dan alat sonar untuk mengesan tanda-tanda kehidupan.
Mereka berdepan bahaya sedang serpihan runtuhan jatuh dan api juga tercetus.
"Proses ini dilakukan secara perlahan dan berhati-hati," kata Encik Ray Jadallah, penolong ketua bomba Miami-Dade Fire Rescue, dalam satu sidang media kelmarin.
"Bila-bila masa kami mula melanggar bahagian struktur, ada runtuhan yang mungkin menimpa kami."
Pegawai telah dapat menghubungi 102 orang yang tinggal di bangunan itu, tetapi 99 masih belum dapat dihubungi hingga petang kelmarin, kata Mayor Daniella Levine Cava dari Miami-Dade County.
Sekurang-kurangnya satu orang terbunuh dalam keruntuhan itu, kata pihak berkuasa. Memandangkan ramai belum dapat dihubungi, ramai lagi dikhuatiri terkorban. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg