Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsaha cari mangsa diteruskan dalam cuaca di bawah paras beku
Usaha cari mangsa diteruskan dalam cuaca di bawah paras beku
GAZIANTEP (Turkey): Pekerja penyelamat terus giat menggali runtuhan dalam usaha mencari mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi yang dianggap paling kuat dalam beberapa dekad yang melanda dua negara berjiran - Turkey dan Syria - dengan jumlah kematian dianggarkan melebihi 8,700 orang setakat ini. Menteri Dalam Negeri Turkey, Encik Suleyman Soylu, memberi amaran tempoh 48 jam bermula Rabu (8 Feb) adalah "genting" dalam usaha mencari mangsa. Ini disebabkan keadaan yang mencabar - musim sejuk yang menyaksikan salji turun lebat dengan suhu cuaca di bawah paras beku dan runtuhan bangunan berlaku merata-rata selain kerosakan jalan yang menyukarkan bantuan disalurkan dengan lancar. Kesemua ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat anggota penyelamat dan orang ramai yang tidak berputus asa untuk cuba mengeluarkan mangsa daripada runtuhan bangunan. Pasukan penyelamat menyodok salji ketika ia menimbun di atas serpihan, mencari mangsa yang cedera dan terperangkap. Mangsa yang terselamat, ramai yang berkaki ayam dan berpakaian tidur, berkerumun di sekitar unggun api bangkai untuk kekal hangat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran jumlah korban dijangka mencecah 20,000 orang. - Agensi berita.