BANGKOK: Usaha mencari mangsa yang terperangkap dipergiat pada hari ketiga selepas gempa bumi besar mengorbankan lebih 2,000 mangsa di Myanmar dan Thailand.
Pasukan penyelamat berjaya menarik keluar mangsa di Myanmar dan tanda-tanda kehidupan terus dikesan di bawah runtuhan sebuah pencakar langit di Bangkok, Thailand, sekali gus menyemarakkan usaha mencari dan menyelamat (SAR).
Pasukan itu telah menyelamatkan empat orang, termasuk seorang wanita hamil dan seorang remaja perempuan, dari puing-puing bangunan runtuh di Dalaman, bandar di Myanmar berhampiran pusat gempa bumi 7.7 pada skala Richter pada 28 Mac.
Imej yang disiarkan oleh penyiar negara China CCTV menunjukkan pekerja penyelamat China dilihat membawa mangsa yang terselamat, dibalut dengan selimut haba, di celah-celah timbunan konkrit yang hancur dan logam berpintal di sebuah bangunan pangsapuri di Mandalay.
Rakaman dron di bandar itu menunjukkan sebuah bangunan besar bertingkat yang telah runtuh, dilapisi lapisan konkrit, tetapi beberapa kuil masih berdiri.
Di sebalik kesedihan yang meruntun, perang saudara di Myanmar yang menyaksikan junta tentera merampas kuasa pada 2021, merumitkan usaha menyelamatkan mereka yang cedera atau kehilangan tempat tinggal akibat gempa terbesar di negara Asia Tenggara itu dalam satu abad.
“Akses kepada semua mangsa adalah satu isu... memandangkan keadaan konflik.
“Terdapat banyak isu keselamatan untuk mengakses beberapa kawasan khususnya yang merentasi barisan depan perang,” kata wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Myanmar, Encik Arnaud de Baecque, dalam laporan agensi berita, Reuters.
Ironinya, sebuah kumpulan pemberontak berkata tentera pemerintah Myanmar masih melakukan serangan udara ke atas beberapa kampung selepas gempa itu berlaku.
Sementara itu, di ibu kota Thailand, Bangkok, penyelamat mengeluarkan sekujur mayat dari runtuhan bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan, menjadikan jumlah kematian akibat bangunan runtuh kepada 12 orang.
Keseluruhannya 19 orang maut di seluruh Thailand dan 75 masih dilaporkan hilang.
Mesin pengimbas dan anjing pengesan telah dikerahkan di tempat kejadian.
Timbalan Gabenor Bangkok, Cik Tavida Kamolvej, berkata pasukan penyelamat sedang berusaha meredah kawasan yang dikesan mempunyai tanda kehidupan selepas tiga hari gempa yang dahsyat itu berlaku.
Di Myanmar, media junta tentera melaporkan pada 31 Mac bahawa angka kematian meningkat kepada 2,065, dengan lebih 3,900 orang cedera dan 270 masih hilang.
Pemerintah tentera telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama seminggu mulai 31 Mac, dengan bendera negara dikibarkan separuh tiang sehingga 6 April.
China, India, Thailand, Malaysia, Singapura dan Russia adalah antara negara yang telah menghantar sama ada bahan bantuan dan pasukan penyelamat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya sedang menyegerakan bekalan bantuan kepada kira-kira 23,000 mangsa gempa yang terselamat di tengah Myanmar.
Amerika Syarikat menjanjikan bantuan AS$2 juta ($2.7 juta) “melalui organisasi bantuan kemanusiaan yang berpangkalan di Myanmar”.
Prasarana penting seperti jambatan, lebuh raya, lapangan terbang dan landasan kereta api turut rosak di seluruh negara yang mempunyai 55 juta penduduk,
Ia sekali gus memperlahankan usaha bantuan kemanusiaan.
Menurut laporan agensi berita, AFP, ratusan pesakit dirawat di luar hospital dengan pesakit dilihat terbaring di atas pengusung di tempat letak kereta hospital, di bawah terik matahari.
Keadaan panas yang lembap turut menyebabkan keletihan dalam kalangan pekerja penyelamat dan mempercepat pereputan mayat, sekali gus menyukarkan proses pengecaman.
“Keadaan ini sangat tidak sempurna bagi semua orang tetapi kami sedang berusaha sebaik mungkin di sini.
“Kami cuba melakukan yang terbaik.” kata seorang pegawai perubatan yang enggan dikenali. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg