Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:11
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

RENCANA

Usaha hapus binatang perosak demi selamatkan burung asli New Zealand

Kerajaan tetapkan matlamat hapuskan tikus dan binatang perosak lain di seluruh negara menjelang 2050
Jul 03, 2023 | 03:45 PM



MIRAMAR (New Zealand): Pada pagi Ahad yang cerah, pencinta hidupan liar berkumpul di Miramar, sebuah semenanjung dengan pemandangan indah di New Zealand. Mereka dalam misi untuk menghapuskan binatang perosak – tikus.


Kumpulan Predator-Free Miramar bertindak demi melindungi burung-burung di kawasan Miramar, di Wellington, ibu kota negara itu, dengan menyingkirkan setiap tikus di situ.

Selepas memakai jaket, sukarelawan diberikan mentega kacang – umpan sesuai untuk tikus – dan racun.

Masing-masing diberikan sepetak tanah di mana mereka akan memeriksa perangkap dan kotak umpan yang diikat dengan toksin. “Semoga berjaya kawan-kawan,” kata Encik Dan Coup, ketua kumpulan itu.

Aplikasi GPS memandu Encik Coup melalui semak ke peranti yang berada dalam kawasan laluannya. Untuk setiap satu, beliau menggantikan umpan dan mengemas kini maklumat pada aplikasi tersebut.

Tiada yang menunjukkan tanda-tanda umpan itu telah dikunjungi tikus.

Tetapi semasa beliau meninjau tanah untuk mencari najis dan petunjuk lain, telefonnya bergetar. Seorang sukarelawan telah berkongsi imej melalui kumpulan sembang mereka di WhatsApp: seekor tikus mati dalam perangkap.

Ini bukan berita yang dialu-alukan.

“Dave akan berasa gembira kerana beliau telah menangkapnya tetapi kami berasa sedih kerana ternyata masih ada tikus,” Encik Coup mengeluh.

Membasmi tikus dan binatang perosak lain adalah matlamat bukan sahaja buat Miramar, bahkan seluruh New Zealand.

Kerajaan negara itu menjangkakan usaha pembasmian ini akan selesai menjelang 2050.

Ia adalah langkah paling utama.

Pulau terbesar yang telah berjaya menghapuskan semua tikus ialah Georgia Selatan, wilayah sepanjang 170 kilometer di Atlantik Selatan. Ahli pemuliharaan New Zealand percaya matlamat itu boleh dicapai dalam masa terdekat di kawasan yang lebih besar daripada Britain.

Namun, pihak lain merujuk kepada beberapa masalah praktikal dan etika.

Di tengah-tengah projek adalah satu ekologi yang unik. New Zealand berpecah daripada benua besar purba 85 juta tahun lalu, jauh sebelum kebangkitan kumpulan mamalia. Tanpa binatang perosak darat, burung boleh bersarang di tanah atau hidup tanpa perlu terbang.

Tambahan, New Zealand adalah daratan utama terakhir yang ditakluki manusia.

Pada abad ke-13, orang Polinesia membawa masuk tikus biasa dan tikus Pasifik.

Enam abad kemudian, orang Eropah memperkenalkan mamalia yang lebih besar, yang memakan burung yang tidak berupaya mempertahankan diri.

Hampir satu pertiga daripada spesies asli telah dihapuskan sejak penempatan manusia.

Usaha menyelamatkan yang lain bukanlah perkara baru. Pada 1960-an, ahli pemuliharaan berjaya membasmi tikus daripada pulau-pulau kecil di luar pesisir. Tetapi menangani binatang perosak belum menjadi fenomena sosial, sehinggalah kira-kira tahun 2010.

“Ia melonjak dan menjadi satu ‘usaha kebangsaan’,” kata Encik James Russell, ahli biologi Universiti Auckland dan juara projek 2050.

Satu faktor, kata Encik Russell, ialah kemunculan kamera inframerah.

Pada abad ke-20, perosak yang paling ketara dan sasaran utama, adalah herbivor besar seperti rusa dan kambing. Tetapi dari tahun 2000-an, penggemar hidupan liar dapat memperlihatkan aktiviti mamalia kecil pada waktu malam.

Imej tikus menerkam telur dan anak burung dikongsi secara meluas.

“Rakaman itu menaikkan semangat, “ kata Encik Russell. Seorang ahli ekologi pada masa itu menjumlahkan bahawa New Zealand kehilangan 26 juta burung setahun kepada binatang perosak.

Pada 2011 seorang ahli fizik selebriti, Sir Paul Callaghan, mempopularkan impian sebuah negara bebas binatang perosak. Encik Russell dan ahli pemuliharaan muda lain berpendapat bahawa ia boleh tercapai, dengan pelaburan dan penggemblengan yang mencukupi.

Kemudian, ahli politik turut serta. Pada 2016, satu undang-undang yang dikemukakan menandakan binatang perosak paling teruk untuk dibasmi: tiga jenis tikus (tikus Pasifik, tikus kapal, tikus Norway), mustelid (stoat, jelu, feret) dan posum. Pertengahan abad dipilih sebagai tarikh akhir yang memberi inspirasi.

Predator Free 2050 Ltd, sebuah badan awam, telah ditubuhkan untuk menyalurkan dana kerajaan dan swasta ke dalam projek tempatan untuk menguji strategi pembasmian.

Predator Free Wellington adalah projek yang paling bercita-cita tinggi.

Di bandar dengan jumlah penduduk 200,000 orang, ia bertujuan untuk membunuh pelbagai perosak, terutamanya tikus yang hidup subur di sekitaran bandar.

Pasukan projek itu, yang mempunyai 36 anggota ‘orang kuat’, telah mengubah penangkap tikus amatur menjadi pembasmi sebenar. Ia telah membekalkan mereka dengan racun antikoagulan, yang jauh lebih berkesan daripada perangkap, serta aplikasi GPS yang menyimpan maklumat daripada setiap peranti dalam masa nyata.

Kamera telah dipasang di tempat-tempat yang sering dilewati binatang perosak.

“Jika mana-mana tikus muncul,” kata pengarah Predator Free Wellington, Encik James Willcox, “pasukan perancangan saya tahu menempatkan sumber mereka”.

Setiap tikus yang ditemui mati akan dihantar ke makmal untuk dibedah siasat. Ini penting kerana antikoagulan membunuh secara perlahan. Tikus adalah haiwan sosial yang bijak dan pandai mengelak daripada sebarang perkara yang jelas akan membahayakan mereka.

Apabila tikus yang telah diracuni, mati jauh dari kotak umpan, Predator Free Wellington perlu menjalankan bedah siasat untuk memantau keberkesanan.

“Kami memotongnya untuk melihat sama ada mereka telah dibunuh oleh toksin, “ jelas Encik Willcox.

“Kami juga perlu memahami: adakah ia jantan, adakah ia betina, adakah ia telah membiak baru-baru ini? Adakah kita mengejar seekor tikus atau sekeluarga tikus?”

Miramar telah berada di barisan hadapan dalam serangan terhadap binatang perosak. Tikus kini jarang ditemui di semenanjung dan banyak burung asli New Zealand telah membuat kemunculan semula.

Panggilan tersendiri burung tui, yang bilangannya di Wellington telah berkurangan kepada hanya beberapa pasang pada 1990, kini sentiasa kedengaran. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >