Usaha kini tumpu cari kotak hitam pesawat, Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Dunia0

NAHAS PESAWAT SRIWIJAYA AIR

Usaha kini tumpu cari kotak hitam pesawat

Jan 12, 2021 | 05:30 AM

JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini tertumpu kepada usaha mencari kotak hitam pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air, selepas koordinat pesawat yang terhempas di perairan itu dikenal pasti.

Biro Perhubungan dan Maklumat Awam, Kementerian Perhubungan Indonesia, dalam kenyataan memaklumkan operasi SAR itu disertai polis, tentera, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) serta agensi berkaitan membabitkan penggunaan empat helikopter, dua pesawat udara dan 38 unit kapal yang dilengkapi peralatan seperti Multibeam Echosounder dan Remotely Operated Vehicle (ROV).

Ini termasuk 11 kapal perang, sebuah helikopter dan lebih 50 penyelam dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut Indonesia (TNI-AL) yang dikerahkan ke lokasi jatuhnya pesawat Sriwijaya Air SJ-182.

Operasi pencarian dilaksanakan selama 24 jam, kecuali pasukan penyelam yang tidak beroperasi pada waktu malam dan hanya kembali beroperasi pagi semalam.

Fokus pencarian adalah untuk membersihkan puing atau serpihan pesawat di sekitar lokasi yang diduga sebagai lokasi kotak hitam.

Discover Malay Home Based Businesses

Panglima Komando Armada, Laksamana Muda TNI Abdul Rashid yang memberikan perkembangan terkini kepada pihak media di atas kapal KRI Rigel-933 di Pulau Laki dalam kawasan perairan Pulau Seribu, berkata pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya ROV - alat pencarian bawah air yang dilengkapi kamera dan teknologi pengesanan - itu.

Pesawat SJ-182 terputus hubungan pada ketinggian 11,000 kaki, kira-kira empat minit selepas berlepas pada 3.36 petang (waktu Singapura) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Jakarta, dalam penerbangan ke Pontianak, Kalimantan, kelmarin.

Menteri Perhubungan Indonesia, Encik Budi Karya Sumadi, berkata pesawat itu disahkan terhempas di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan Kepulauan Seribu.

Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto, dalam siaran media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan, berkata pasukan SAR telah mengenal pasti kotak hitam itu di satu koordinat (tidak dinyatakan) yang berada pada kedalaman 23 meter di perairan berkenaan.

Sejauh ini SAR menemui serpihan pesawat dan enjin, barangan penumpang serta cebisan mayat.

Setakat 1 tengah hari semalam, Rumah Sakit Polri (Polis Indonesia) di Kramat Jati telah menerima 16 bungkusan berisi cebisan mayat mangsa.

Ketua Rumah Sakit Polri Kramat Jati, Encik Asep Hendradiana, dipetik agensi berita Antara sebagai berkata bahawa pihaknya sedang mengumpul asid deoksiribonukleik (DNA) anggota keluarga penumpang pesawat berkenaan.

Sehingga 10.30 pagi semalam, sebanyak 40 sampel DNA keluarga penumpang pesawat telah diperolehi bagi bedah siasat, menurut Ketua Biro Penerangan Masyarakat, Polis Indonesia, Encik Rusdi Hartono.

Kementerian Perhubungan Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan SAR setakat ini telah menjumpai beberapa bahagian pesawat seperti pecahan pesawat, jaket penyelamat, beberapa bahagian dalaman pesawat dan barangan penumpang seperti pakaian, beg dan kad identiti pengenalan penumpang.

Pelbagai objek dan cebisan mayat itu ditemui di perairan Kepulauan Seribu pada kedalaman 23 meter di dasar laut.

Penerbangan Sriwijaya ke Pontianak itu membabitkan perjalanan kira-kira 90 minit melintasi Laut Jawa dan membawa 62 penumpang termasuk 10 kanak-kanak dan 12 anak kapal - kesemuanya warga Indonesia. - Agensi berita.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map