Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SOROTAN KES RASUAH DATIN SERI ROSMAH MANSOR

Usaha Rosmah dalam sayu, sendu rayu hukuman

Sep 04, 2022 | 05:30 AM



DATIN Seri Rosmah Mansor mengekalkan pendirian beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan mengharap mahkamah menjadi tempat untuknya mendapatkan keadilan.



Namun, jangkaannya meleset sama sekali apabila Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mendapati beliau bersalah atas ketiga-tiga tuduhan rasuah melibatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk manfaat 369 sekolah di pedalaman Sarawak.



Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan denda RM970 juta - jumlah denda terbesar dalam sejarah Malaysia - ke atas isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.



Bagi setiap tuduhan yang didapati bersalah itu, Datin Seri Rosmah dikenakan hukuman penjara 10 tahun.



Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, bermakna 10 tahun.



Datin Rosmah, 70 tahun, sekarang bebas dengan ikat jamin RM2 juta.



Keputusan Mahkamah Tinggi itu memberi kesan besar ke atas Datin Rosmah, setelah Datuk Najib sendiri baru dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan rasuah.



Kedua-dua mereka, Datuk Najib dan Datin Rosmah mendirikan rumahtangga pada 1987. Ia perkahwinan kali kedua bagi kedua-duanya.



Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan dua anak, Encik Norashman dan Cik Nooryana Narjawa.



Datin Rosmah mempunyai dua anak, Encik Riza dan Cik Azrene Soraya, daripada perkahwinan pertama beliau bersama seseorang bernama Abdul Aziz yang berasal dari Perak.



Dalam keputusan penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata Datin Rosmah bukan mengangguk sahaja, bahkan berkata "hmmm" ketika wang berjumlah RM1.5 juta ($468,228) dibawa ke kediamannya.



Ini menandakan beliau mengaku dan terima wang itu, kata Hakim Mohamed Zaini.



Wang tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Encik Saidi Abang Samsudin, yang memberitahu mahkamah dalam kenyataannya tentang reaksi Datin Rosmah ketika beliau membawa wang seperti dijanjikan itu dan berkata akan membayar selebihnya selepas menerima pembayaran lanjut.



"Reaksi tertuduh menunjukkan dia mengakui dan menerima wang itu. Rizal (bekas pembantu khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor) juga melihat dan mendengar tertuduh mengarahkan butler (pembantunya) mengambil dua beg sandang mengandungi wang dan meletakkannya dalam biliknya," kata Hakim Mohamed Zaini dalam penghakimannya.



Hakim Mohamed Zaini berkata beliau hanya boleh membuat kesimpulan bahawa tertuduh sepatutnya boleh memeriksa kandungan dua beg itu dan kemudian mengira wang berjumlah RM1.5 juta itu.



"Jika dia tidak pernah berniat menerimanya, beliau sepatutnya menyuruh Saidi dan rakan perniagaannya beredar, membuat aduan kepada Rizal, membuat laporan polis atau memulangkan wang itu kepada Saidi.



"Semua perkara ini tidak dilakukannya. Reaksi tertuduh ialah dia mengangguk dan berkata, "Hmmm", apabila Saidi memberitahunya bahawa dia sudah membawa wang seperti dijanjikan dan akan membayar selebihnya berdasarkan pembayaran lanjut yang diterima," ujarnya.



Hakim Mohamed Zaini berkata lagi bahawa rantaian pergerakan wang RM1.5 juta itu berjaya dibuktikan dan beliau menyimpulkan kedua-dua beg itu mengandungi wang selaras dengan tuduhan kedua, iaitu menerima suapan dengan jumlah terbabit.



"Bagi tuduhan ketiga, mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh menerima wang RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016," katanya.



Dalam mengemuka mitigasi dari kandang tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan ke atasnya, Datin Rosmah menyuarakan kesedihan dan kekecewaannya dengan apa yang berlaku. Baginya, mahkamah adalah tempat mendapatkan keadilan dan beliau sentiasa mengingatkan pasukan peguamnya supaya sentiasa bercakap benar.



"Ini cara saya dibesarkan. Saya tidak mahu bercakap lebih. Saya menghormati keputusan mahkamah dan saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan memori yang baik terhadap sistem keadilan.



"Saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan cara baik. Saya pernah menjadi First Lady of Malaysia (Wanita Pertama Malaysia)," katanya.



Semasa perbicaraan, Datin Rosmah memberitahu mahkamah: "Apabila saya didakwa di mahkamah, saya terkejut. Saya juga tidak pernah mempengaruhi suami saya.



"Setiap kali saya buka mulut, dia akan kata awak isteri saya, jangan masuk campur." - The Straits Times, BHM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >