Usul bahas dan ungkai Ordinan Darurat boleh dibawa ke Parlimen Sept ini: Muhyiddin
Usul bahas dan ungkai Ordinan Darurat boleh dibawa ke Parlimen Sept ini: Muhyiddin
PUTRAJAYA: Usul bagi membahas dan mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat boleh dibawa ke sidang Parlimen yang dijadual berlangsung September ini, kata Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sebelum ini proses pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Yang diPertuan Agong seperti mana disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu, tidak dapat disempurnakan.
"Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.
"Maka selaras titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, usul untuk membahas dan seterusnya mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat itu boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021," katanya menerusi kenyataan semalam.
Tan Sri Muhyiddin menambah, usul membabitkan pembatalan Ordinan-Ordinan darurat akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Katanya, ia diharap dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan.
Khamis lalu, Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankannya.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Agong turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya kemudian memaklumkan semua tindakan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
PMO juga menyebut Agong sedia maklum beliau perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Umno dikatakan menimbangkan langkah berani untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin dengan wakilnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang baru menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Langkah itu diambil ekoran desakan meningkat ke atas Tan Sri Muhyiddin untuk mengundurkan diri kerana pertembungan dengan Agong yang dihormati banyak pihak.
The Straits Times dimaklumkan bahawa sebilangan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Umno mengadakan beberapa pertemuan berikutan teguran Agong pada Khamis lalu ekoran keputusan sepihak kerajaan membatalkan peraturan darurat dan tidak membincangkan isu tersebut di Parlimen seperti yang diarahkan Agong.
Sedang sebilangan besar anggota BN itu cenderung mahu kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), beberapa ahli parlimen Umno telah menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin harus diganti, sebaiknya daripada kalangan mereka sendiri.
Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya telah menyerahkan surat akuan "yang mencukupi" kepada Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Dalam satu sidang akhbar petang semalam, beliau berkata langkah itu sekali gus menunjukkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahannya sebagai ketua kerajaan telah terpadam.
Sidang itu menyusuli satu mesyuarat majlis tertinggi khas maya parti itu untuk meneliti pendiriannya dan tindakan lain berikutan keadaan politik semasa.
Selain itu, anggota Parlimen Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkuat kuasa serta-merta. - BHM, The Star, ST.
"Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit. Maka selaras titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, usul untuk membahas dan seterusnya mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat itu boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021." - Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

