Topic followed successfully
Go to BHkuUsul larang perjalanan rentas negeri bagi sambut Raya di M'sia
Usul larang perjalanan rentas negeri bagi sambut Raya di M'sia
Usul larang perjalanan rentas negeri bagi sambut Raya di M'sia
PUTRAJAYA: Sedang kes jangkitan Covid- 19 baru di Malaysia meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh enam minggu, Kementerian Kesihatan (KKM) negara itu telah menyarankan agar pergerakan merentas negeri bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang ditangguhkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata cadangan itu juga berikutan aduan dan rayuan daripada pelbagai pihak agar kerajaan menangguhkan penarikan balik larangan perjalanan antara negeri.
Malaysia mencatat 2,148 kes kelmarin - melepasi paras 2,000 buat kali pertama dalam tempoh enam minggu, lapor The Star.
Tujuh negeri mencatat tiga angka - Sarawak dengan 512 kes; Selangor (459), Kelantan (221), Sabah (202), Johor (182), Kuala Lumpur (171) dan Pulau Pinang (134).
Rabu lalu, Malaysia melaporkan 1,889 kes baru.
Jumlah kes Covid-19 menunjukkan trend kenaikan yang berterusan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang keempat melanda negara ini.
"Seperti kita semua ketahui, kebanyakan negeri kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat dan pemulihan hingga 28 April.
"Sedang kes harian masih meningkat dan belum mantap, perjalanan antara negeri ini perlu ditunda.
"Program vaksinasi juga masih berjalan," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku kelmarin.
Ditanya sama ada mereka yang telah menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19 akan diberi pengecualian bagi perjalanan antara negeri itu, Dr Adham mengatakan kementeriannya masih menunggu maklum balas daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).
Banyak pihak telah meminta kerajaan agar membenarkan perjalanan antara negeri sempena Hari Raya.
Namun KMM mengusulkan agar ia ditunda dan antara sebab lain adalah varian baru Covid-19 dalam masyarakat dan program vaksinasi nasional yang masih berlangsung di peringkat awal.
Sementara itu, kementeriannya juga menerima aduan mengenai ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa bazar Ramadan di seluruh negara.
Beliau berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan ditutup jika kelompok baru berasal daripada kegiatan bazar.
"Sekiranya penganjur tidak bertanggungjawab, kami tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun," katanya.
Secara berasingan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam satu kenyataan, pihak berkuasa telah mengenal pasti dua lagi kes varian Covid-19 yang sangat berjangkit yang kali pertama kali ditemui di Britain.
Varian itu, juga dikenali sebagai B.1.1.7, ditemui pada dua rakyat Malaysia yang telah pergi ke Poland bulan lalu dan didapati positif koronavirus setelah mereka kembali pada 30 Mac, kata beliau.
Kes terbaru itu menjadikan jumlah jangkitan yang melibatkan varian itu yang dikesan di Malaysia menjadi lima, katanya.
Sehingga kelmarin, Malaysia telah melaporkan lebih 367,900 kes Covid-19, termasuk 1,363 kematian.
"Seperti kita semua ketahui, kebanyakan negeri kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat dan pemulihan hingga 28 April. Sedang kes harian masih meningkat dan belum mantap, perjalanan antara negeri ini perlu ditunda. Program vaksinasi juga masih berjalan." - Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba.

