Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KEMELUT POLITIK MALAYSIA

Usul undi percaya Muhyiddin bakal lihat perpecahan sokongan

Aug 05, 2021 | 05:30 AM



KEPUTUSAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentangkan usul undi percaya semasa sidang Dewan Rakyat September ini bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri, bakal menyaksikan pertembungan dua personaliti selain perpecahan sokongan dalam beberapa parti politik utama.



Ini memandangkan kedua-dua Tan Sri Muhyiddin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saling mengakui mempunyai sokongan majoriti.



Selain itu, 'kluster menteri' daripada kalangan ahli parlimen Umno dilihat lebih menyebelahi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan membelakangi arahan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menarik sokongan ke atas perdana menteri ketujuh itu.



Mengongsi pandangannya, Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, kepada Berita Harian semalam, beliau menarik perhatian akan tindakan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dalam memberi keyakinan kepada rakyat akan kedudukan beliau yang masih kekal sebagai perdana menteri dan usahanya "membeli masa" bagi menarik sokongan sebelum melaksanakan undi percaya.



"Sememangnya beliau tahu, tidak lagi punya banyak pilihan untuk mengekalkan kedudukan dan perlu mengadakan usul undi percaya, tetapi mengambil kira keadaannya yang tidak mempunyai sokongan majoriti, Muhyiddin mengambil langkah mengadakannya hanya pada September ini.



"Dengan itu kita boleh lihat strategi beliau dan pihak yang menolaknya akan saling berebut menarik sokongan tetapi dengan kedudukannya sebagai perdana menteri sekarang, Muhyiddin ada kelebihan dalam meraih sokongan.



"Kita juga akan melihat bagaimana anggota parlimen daripada kalangan Umno, PAS (Parti Islam SeMalaysia), Bersatu akan lebih berpecah dengan sebahagiannya memilih untuk memberi sokongan sama ada kepada Muhyiddin ataupun kepada Anwar," ujarnya.



Dalam pengumumannya semalam, Tan Sri Muhyiddin berkata beliau "telah menyembah maklum kepada baginda (Yang di-Pertuan Agong) mengenai penerimaan sejumlah SD (Akuan Bersumpah) daripada ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini" namun tidak menyatakan jumlahnya.



Datuk Seri Anwar pula semasa perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu mengakui menerima sokongan "dengan jumlah 107 ahli Parlimen di sini (pembangkang) ditambah ahli Parlimen lain".



Parlimen Malaysia kini mempunyai 220 kerusi dengan pihak yang membentuk kerajaan harus meraih sekurang-kurangnya 110 sokongan majoriti.



Umno yang menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin mempunyai jumlah terbesar sebanyak 38 kerusi.



Sejauh ini Tan Sri Muhyiddin dikatakan mempunyai hanya 104 sokongan sahaja - kurang daripada jumlah majoriti mudah yang diperlukan.



Zamil Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, dalam wawancara yang disiarkan AstroAwani semalam berkata kehilangan majoriti perlu dibuktikan secara jelas terutama melibatkan ahli parlimen Umno yang berada dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).



"Buat masa ini kerajaan masih lagi wujud... cuma yang jelas bahawa kerajaan berada dalam keadaan amat tidak stabil dan tidak jelas kedudukannya kerana Umno telah menarik balik sokongan dan ini perlu dibuktikan.



"Kita tidak tahu lagi apakah sokongan ahli-ahli Umno yang menjadi menteri dan sebagainya dan ini juga kita harus lihat.



Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg yang juga mengongsi pandangan di Astro Awani pula menyifatkan pilihan paling tepat adalah dengan mengembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan penubuhan kerajaan sementara atau sebaliknya, sebelum diadakan pilihan raya umum ke-15.



"Sudah semestinya kita tidak ingin melihat kepada isu-isu kepartian. Interim (pembentukan kerajaan sementara) ini adalah peranan budi bicara Yang di-Pertuan Agong jadi sewajarnya kerajaan interim bukanlah berdasarkan kepartian tetapi individu yang kita lantik itu boleh memimpin, boleh menjalankan tugas dengan baik atau sebaliknya.



"Jadi saya rasa isu kepartian harus kita ketepikan dan kita fokus kepada usaha memastikan negara ini ditadbir dengan sebaik mungkin."



Dalam pada itu, seorang pengamat politik Malaysia, Encik Mohamed Mansor Abdul Rahman, semasa dihubungi Berita Harian pula menyambut baik budi bicara Yang di-Pertuan Agong tetapi menekankan rakyat tidak seharusnya dijadikan mangsa atau kambing hitam dalam kemelut politik yang berlaku sekarang.



Menilai keadaan yang berlaku, beliau berasa pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diusulkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sebenarnya "adalah jalan terbaik bagi menangani masalah wabak Covid-19 dan memulihkan keadaan sosial dan ekonomi negara, tanpa ada campur tangan politik".




APA KATA PENGAMAT



"Dengan itu kita boleh lihat strategi beliau dan pihak yang menolaknya akan saling berebut menarik sokongan tetapi dengan kedudukannya sebagai perdana menteri sekarang, Muhyiddin ada kelebihan dalam meraih sokongan. Kita juga akan melihat bagaimana anggota parlimen daripada kalangan Umno, PAS (Parti Islam SeMalaysia), Bersatu akan lebih berpecah dengan sebahagiannya memilih untuk memberi sokongan sama ada kepada Muhyiddin ataupun kepada Anwar."



- Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin.



"Buat masa ini kerajaan masih lagi wujud... cuma yang jelas bahawa kerajaan berada dalam keadaan amat tidak stabil dan tidak jelas kedudukannya kerana Umno telah menarik balik sokongan dan ini perlu dibuktikan. Kita tidak tahu lagi apakah sokongan ahli-ahli Umno yang menjadi menteri dan sebagainya dan ini juga kita harus lihat.



- Zamil Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid.



"Sudah semestinya kita tidak ingin melihat kepada isu-isu kepartian. Interim (pembentukan kerajaan sementara) ini adalah peranan budi bicara Yang di-Pertuan Agong jadi sewajarnya kerajaan interim bukanlah berdasarkan kepartian tetapi individu yang kita lantik itu boleh memimpin, boleh menjalankan tugas dengan baik atau sebaliknya. Jadi saya rasa isu kepartian harus kita ketepikan dan kita fokus kepada usaha memastikan negara ini ditadbir dengan sebaik mungkin."



- Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >