Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usul undi yakin ke atas Anwar di pembukaan sidang Dewan Rakyat M'sia antara tumpuan utama

Dec 18, 2022 | 5:30 AM
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-10: Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-10: Datuk Seri Anwar Ibrahim. -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan bermula esok akan menjadi perhatian kerana agenda utamanya antara lain menyaksikan pembentangan usul undi yakin bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Usul undi yakin itu bertujuan membuktikan Datuk Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, mendapat sokongan Ahli-Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baru selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi yakin terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu terkandung pada nombor lapan urusan persidangan.

Keabsahan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri dijangka tidak tergugat susulan Perjanjian Persefahaman Kerjasama dimeterai antara gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan, pada 16 Disember lepas.

Lima gabungan politik utama - Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) - yang membentuk Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama kelmarin bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul yakin, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira meletak jawatan.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari itu, turut menyaksikan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat baru, Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah dan pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Datuk Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Disember lepas berkata, persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau 'bajet mini' bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari. - BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg