WASHINGTON: Vaksin dari Pfizer dan Moderna dijangka mendapat pengesahan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan diedarkan dalam masa beberapa minggu, sekali gus memulakan fasa inokulasi seawal tahun ini, menurut Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Encik Alex Azar, kelmarin.
Negeri dan wilayah di Amerika kini sedang membuat persiapan memulakan pengedaran vaksin dalam masa 24 jam sebaik menerima pengesahan pihak berkuasa.
Beberapa pegawai pemerintah dalam sidang media menerusi telefon dengan wartawan menambah, keperluan tempat penyimpanan dingin tidak akan menghalang semua rakyat Amerika daripada mendapatkan vaksin tersebut.
"Kami kini punya dua vaksin yang selamat lagi berkesan yang dijangka disahkan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan dan sedia diedarkan dalam masa beberapa minggu," kata Encik Azar semasa sesi taklimat tentang Program Operasi Berkelajuan Tinggi yang dilaksanakan pemerintah bagi vaksin Covid-19 dan rawatannya.
Firma bioteknologi Amerika, Moderna, sebelum ini mengumumkan vaksin percubaannya untuk Covid-19 berkesan 94.5 peratus, menandakan kejayaan besar kedua dalam pemburuan vaksin.
Moderna mengeluarkan hasil awal daripada percubaan klinikal dengan lebih daripada 30,000 peserta, selepas syarikat farmaseutikal Pfizer dan rakannya dari Jerman BioNTech minggu lalu mengatakan bahawa vaksin mereka 95 peratus berkesan.
Kedua-dua pelopor vaksin ini berdasarkan pada platform baru yang disebut 'messenger RNA', yang lebih cepat dihasilkan daripada vaksin tradisional dan secara efektif mengubah sel manusia menjadi kilang vaksin.
"Analisis interim positif daripada kajian Fasa 3 ini telah memberi kita pengesahan klinikal pertama bahawa vaksin kita dapat mencegah penyakit Covid-19, termasuk penyakit yang teruk," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Moderna, Encik Stephane Bancel.
Syarikat itu merancang mengemukakan permohonan untuk kelulusan kecemasan di Amerika dan di seluruh dunia dalam beberapa minggu, serta mengatakan bahawa pihaknya menjangka mempunyai sekitar 20 juta dos yang siap dihantar di Amerika pada akhir tahun ini.
Jangkitan global Covid-19 melonjak melebihi 55 juta dengan lebih daripada 1.34 juta kematian sejak virus itu muncul di China akhir tahun lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan bahawa vaksin Covid-19 masih belum tentu tersedia seperti diharapkan untuk 'menewaskan' gelombang kedua pandemik berkenaan.
Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, berkata vaksin tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian ajaib dan negara yang sedang memerangi kebangkitan Covid-19 ini perlu berdepan dengannya tanpa vaksin.
"Saya rasa sekurang-kurangnya sehingga empat hingga bulan lagi sebelum kita dapat tahap vaksinasi yang signifikan di mana-mana saja," katanya ketika sesi soal jawab awam secara langsung di media sosial.
Dr Ryan berkata dunia masih belum mempunyai vaksin Covid-19 sebenar walaupun ada pengumuman yang meyakinkan berdasarkan siri ujian vaksin yang kini berada pada fasa terakhir.
Banyak negara berdepan gelombang ini dan mereka akan melaluinya serta terus menempuhinya tanpa vaksin. Kita perlu memahami dan menerimanya," katanya.
Russia pula mendakwa vaksinnya berkesan terhadap calon ujian pada tahap 90 peratus.
Justeru, Dr Ryan memberi amaran kepada seluruh dunia supaya terus berwaspada terhadap virus berkenaan dan jangan terlalu yakin dengan kebergantungan vaksin untuk menyelesaikan masalah pandemik itu.
"Beberapa orang berpendapat vaksin itu sudah siap, maksudnya ia sebagai penyelesaian, tetapi sebenarnya tidak.
"Sekiranya kita ada vaksin dan melupakan perkara lain, Covid-19 tidak akan menjadi sifar," kata warga Ireland itu. - Reuters, AFP.
"Beberapa orang berpendapat vaksin itu sudah siap, maksudnya ia sebagai penyelesaian, tetapi sebenarnya tidak. Sekiranya kita ada vaksin dan melupakan perkara lain, Covid-19 tidak akan menjadi sifar." - Dr Michael Ryan, Pengarah Kecemasan WHO.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg