SYDNEY: Australia akan memulakan vaksinasi Covid-19 ke atas kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mulai 10 Januari, kata Perdana Menteri Scott Morrison semalam.
Langkah itu diumumkan selepas vaksin tersebut melepasi penelitian terakhir bagi peraturan pelaksanaannya.
"Ini adalah satu berita yang dinanti-nantikan oleh jutaan keluarga di serata negara yang mahu peluang untuk anak mereka menjalani vaksinasi," kata Encik Morrison dalam satu kenyataan.
Selepas menilai data klinikal dari Canada, kumpulan penasihat vaksinasi Australia menyarankan penjarakan lapan minggu antara dua dos, yang boleh dipendekkan kepada tiga minggu jika berlaku penularan.
Tiga pelajar sebuah sekolah di Sydney positif varian Omicron Covid-19 pada 3 Disember - menjadikan ia kes tempatan pertama varian baru itu.
Pegawai kesihatan berkata ada 10 lagi kes suspek Omicron di sekolah itu yang sedang disahkan, sekali gus menandakan jangkitan sudah merebak.
Kluster itu terjadi sewaktu larang terhadap bukan warga memasuki Australia dan sekatan penerbangan dari selatan Afrika, tempat varian itu mula dikesan.
Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) berkata kes pertama di negara itu tidak ada sejarah perjalanan luar negara atau kaitan dengan individu mempunyai sejarah perjalanan luar negara, sekali gus menimbulkan kecemasan.
Australia sebelum ini mengesan beberapa kes Omicron tetapi kesemuanya dikesan dalam kalangan pengembara yang menjalani kuarantin.
Kesemua kakitangan dan persatuan pelajar di Sekolah Kristian Regents Park yang terletak di barat Sydney itu diminta menjalani ujian saringan dan mengasingkan diri.
Hingga 8 Disember, Australia merekodkan sekitar 1,500 kes Covid-19 sehari.
Sejak pandemik itu menular hampir dua tahun itu memaksa sempadan ditutup, perintah berkurung dan pelaksanaan saringan serta pengesanan agresif, termasuk penguatkuasaan larangan perjalanan tempatan dilaksana.
Menurut pihak berkuasa, 87 peratus individu berumur 16 tahun ke atas sudah divaksinasi, meletakkan negara itu dalam keadaan bersedia untuk berdepan varian baharu.
Kadar kemasukan ke hospital juga rendah dan jumlah kematian akibat pandemik itu kekal 2,021 kes.
Tahap kemudaratan berpunca daripada Omicron belum dapat dipastikan dan masih belum jelas apakah vaksin sedia ada kurang berkesan terhadap varian berkenaan.
Terdapat kebimbangan bahawa varian itu mungkin lebih menular berbanding varian dominan lain, seperti Delta. - Reuters, AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg