Topic followed successfully
Go to BHkuVarian baru Covid-19 dorong beberapa negara perketat sempadan
Varian baru Covid-19 dorong beberapa negara perketat sempadan
Varian baru Covid-19 dorong beberapa negara perketat sempadan
WASHINGTON: Dengan amaran tentang ancaman varian virus yang menular pesat di Afrika Selatan serta tanda-tanda ia boleh melemahkan keberkesanan vaksin, negara di serata dunia kini mengetatkan kawalan sempadan masing-masing.
Kelmarin, larangan berkuat kuasa bagi individu bukan warga Amerika Syarikat yang mengembara dari Afrika Selatan memasuki Amerika.
Akhbar The New York Times (NYT) melaporkan sejak beberapa hari lalu, syarikat farmaseutikal Johnson & Johnson dan syarikat pengeluar vaksin Novavax telah mengumumkan vaksin yang dihasilkan memberi pelindungan kuat bagi menentang Covid-19.
Namun, penghasilan vaksin itu datang dengan nota amaran bahawa kadar keberkesanannya merosot di Afrika Selatan di mana varian yang mudah berjangkit itu menjadi penyebab kebanyakan kes koronavirus.
Kajian juga memberi gambaran varian itu menghambat keberkesanan vaksin Covid-19 yang dihasilkan Pfizer-BioNTech, Moderna dan Novovax.
Varian B.1.351 yang mula dikesan di Afrika Selatan telah merebak ke sekurang-kurangnya 31 negara termasuk dua kes di Amerika Syarikat, minggu ini.
Pada Jumaat lalu, pakar penyakit berjangkit di Amerika, Dr Anthony Fauci, berkata varian virus itu harus disifatkan sebagai "pencetus kesedaran" buat orang awam.
Ia juga harus memberi amaran kepada syarikat vaksin bahawa mereka harus tangkas menyesuaikan keadaan dalam menghasilkan versi vaksin yang sebenarnya dan khususnya ditujukan kepada apa jua mutasi yang tersebar luas pada sesuatu masa.
Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, mengumumkan beberapa penerbangan dari Mexico dan negara Caribbean akan digantung.
Pengembara antarabangsa harus mengambil ujian koronavirus apabila mereka tiba ke Canada.
Mereka juga perlu menunggu sehingga tiga hari bagi ujian ini di sebuah hotel yang diiktiraf pihak berkuasa Canada dengan membiayai kosnya sendiri.
Sekatan di Perancis dan Jerman bermula sejak kelmarin. Semalam, Perancis melarang kebanyakan kembara dari semua negara di luar Kesatuan Eropah (EU).
Kecuali pekerja rentas sempadan, pengunjung dari negara EU perlu menjalani ujian yang mengesahkan mereka negatif Covid-19 sebelum memasuki negara ini, kata Perdana Menteri Perancis, Encik Jean Castex.
Di Jerman, pengunjung yang bukan warga Jerman dari Portugal, Brazil, Afrika Selatan, Lesotho dan Eswatini (dahulu dikenali sebagai Swaziland), Britain dan Ireland, dilarang memasuki negara itu.
Amerika pula memperluas sekatan kembara dari Brazil, Britain dan 27 negara Eropah.
Kes pertama di Amerika melibatkan varian Brazil yang dikenali sebagai P.1 disahkan di Minnesota pada Isnin lalu.
Saintis menjangkakannya mempunyai ciri-ciri serupa dengan varian dari Afrika Selatan kerana persamaan genetik.
Vaksin pula didapati berkesan dalam kajian menentang varian dari Britain yang mudah menjangkiti orang lain, B.1.1.7, tetapi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika memberi amaran ia mungkin menjadi sumber jangkitan utama di negara itu menjelang Mac serta membawa pada tambahan kes jangkitan dan kematian. - Agensi berita.

