GENEVA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, varian baru Covid-19 boleh "memperlahankan" dan "menjejas keyakinan" terhadap pemulihan ekonomi global seperti yang berlaku terhadap varian Delta, menurut Ketua IMF, Cik Kristalina Georgieva.
"Sebelum kehadiran varian baru ini, kami juga bimbang mengenai pemulihan itu, apabila ia berterusan akan kehilangan momentumnya.
"Varian baru yang mungkin merebak dengan sangat pantas boleh menjejaskan keyakinan pemulihan," katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, varian Omicron dikesan di 38 negara namun belum ada kematian dilaporkan.
Ketua Saintis WHO, Dr Soumya Swaminathan, memberitahu Reuters Next, varian yang mudah merebak ini lebih mudah berjangkit dan mampu mengatasi varian Delta, yang membentuk 99 peratus daripada jangkitan yang berlaku sekarang.
"Kita perlu bersedia dan berjaga-jaga, bukan panik, kerana kita berada dalam keadaan berbeza berbanding setahun lalu," kata Dr Soumya.
Kewujudan varian baru akan lebih menggugat kestabilan ekonomi yang mulai pulih setelah berdepan dengan gangguan dan sekatan perjalanan demi mencegah penularan Covid-19.
Menurut WHO, sekurang-kurangnya tiga minggu diperlukan untuk mengesan bagaimana jangkitan varian itu berlaku, sama ada ia boleh mengakibatkan jangkitan serius dan apakah rawatan serta vaksin yang sesuai.
"Kami akan mendapatkan penyelesaian yang semua orang mahukan," kata Pengarah Kecemasannya, Dr Michael Ryan.
Kajian awal oleh saintis di Afrika Selatan mendapati, varian Omicron pertama kali dilaporkan pada 24 November lalu dan dianggarkan tiga kali lebih mudah berjangkit, berbanding Delta atau Beta.
Lebih 264 juta orang telah dijangkiti Covid-19 sejak ia pertama kali dikesan di tengah China pada lewat 2019 dan 5.49 juta orang maut akibat daripadanya.
Di Amerika, kurang daripada 60 peratus penduduknya telah divaksinasi sepenuhnya, menjadikan negara itu mencatat kadar terendah di kalangan negara-negara kaya. - Reuters, AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg