LONDON: Kerajaan Britain berkata varian Delta koronavirus Covid-19 60 peratus lebih mudah berjangkit isi rumah, berbanding varian lain.
Ia memaksa negara itu mengenakan sekatan pergerakan Januari lalu.
Varian Delta, yang kali pertama muncul di India, menyebabkan peningkatan kes di Britain, menimbulkan persoalan apakah perintah sekatan penjarakan sosial akan ditarik semula mulai 21 JUN, seperti yang dirancang.
Kajian terbaru Agensi Kesihatan Awam England menunjukkan varian Delta dikaitkan dengan kira-kira 60 peratus peningkatan risiko penularan isi rumah, berbanding varian Alpha, yang kali pertama dikenal pasti di barat daya England.
Setakat ini, 42,323 kes Covid-19 dikenal pasti sebagai varian Delta di Britain, menurut data Agensi Kesihatan Awam England.
Kes varian Delta itu meningkat daripada 29,892 kes pada 2 Jun.
Varian Alpha menyebabkan lonjakan kes Covid-19 pada Januari sebelum kempen vaksin besar-besaran, yang membawa kepada sekatan pergerakan selama tiga bulan, sedang hospital hampir mencecah kapasiti penuh.
Kerajaan Britain sejak itu menggiatkan program vaksinasi dan sekarang sudah memberi hampir 41 juta dos pertama dan hampir 29 juta dos kedua kepada orang dewasa berusia lebih 25 tahun.
Ini bermakna 43 peratus daripada populasi negara itu sudah menerima vaksin penuh dan 18 peratus sudah menerima separuh vaksin.
Bagaimanapun, kes sekarang kembali meningkat, dengan jangkitan harian baru mencecah 7,393 kes kelmarin, paras tidak dilihat sejak Februari lalu.
Kerajaan memaklumkan bahawa lebih 90 peratus kes baru adalah varian Delta.
Bagaimanapun, jumlah pesakit di hospital kekal rendah, iaitu lebih 1,000 pesakit semalam, dan Setiausaha Kesihatan, Encik Matt Hancock, berkata kebanyakan pesakit ialah mereka yang tidak divaksin. - AFP.