Varian 'Delta' punca kenaikan mendadak kes jangkitan di Moscow

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Varian 'Delta' punca kenaikan mendadak kes jangkitan di Moscow

Jun 19, 2021 | 5:30 AM

Varian 'Delta' punca kenaikan mendadak kes jangkitan di Moscow

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TINGKAT KESELAMATAN PENUMPANG: Pekerja yang lengkap dengan pakaian alat pelindung diri (PPE) menyemburkan pembasmi kuman di Stesen Kereta Api Rizhsky, Moscow. - Foto REUTERS
TINGKAT KESELAMATAN PENUMPANG: Pekerja yang lengkap dengan pakaian alat pelindung diri (PPE) menyemburkan pembasmi kuman di Stesen Kereta Api Rizhsky, Moscow. - Foto REUTERS -

MOSCOW: Kemunculan varian baru Covid-19 disyaki punca lonjakan mendadak kes jangkitan koronavirus di ibu negara Russia ketika program vaksinasi berjalan dengan perlahan.

Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin berkata kemungkinan besar varian baru itu lebih agresif dan tersebar dengan lebih cepat.

Katanya, jangkitan harian di ibu negara Russia itu meningkat dari 3,000 hingga 7,000 dalam beberapa hari dan dijangka meningkat lebih 9,000 semalam.

"Angka ini tiga kali ganda meningkat dan ia belum pernah terjadi seperti gelombang sebelum ini," katanya.

Encik Sobyanin turut mengarahkan vaksinasi mandatori untuk penduduk Moscow yang bekerja dalam industri perkhidmatan berikutan peningkatan mendadak dalam jangkitan koronavirus.

Kira-kira 60 peratus daripada pekerja industri perkhidmatan di Moscow atau lebih dua juta orang diarahkan diberi vaksin sepenuhnya menjelang 15 Ogos termasuk pemandu teksi, kakitangan pusat kebudayaan dan pekerja restoran.

Encik Sobyanin turut mengumumkan minggu ini adalah minggu 'tidak bekerja' di ibu negara bagi mengawal jangkitan virus.

Sabtu lalu, beliau mengumumkan minggu tanpa kerja di ibu kota Russia itu berikutan negara itu mencatat rekod kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh enam bulan.

"Sepanjang minggu lalu, situasi dengan penyebaran jangkitan Covid-19 kian memburuk," katanya di media sosial ketika bandar itu mencatatkan 6,701 jangkitan harian - jumlah tertinggi sejak Disember tahun lalu.

Beliau menambah bahawa "ribuan katil hospital" telah diubah untuk pesakit Covid-19.

"Untuk menghentikan jangkitan dan menyelamatkan nyawa orang awam, hari ini saya menandatangani keputusan untuk minggu tidak bekerja antara 15 hingga 19 Jun," kata Encik Sobyanin.

Arahan itu membabitkan semua pekerja di ibu kota Russia itu, bandar yang mempunyai 12 juta penduduk. Bagaimanapun pekerja perkhidmatan dikecualikan daripada aturan itu.

Cuti hujung minggu dan cuti umum pada 14 Jun menjadikan mereka yang bekerja di Moscow tidak dapat kembali ke pejabat sehingga 20 Jun.

Pegawai kesihatan Moscow dalam beberapa minggu lalu turut melaporkan peningkatan jumlah jangkitan baru secara berterusan, mencerminkan trend di seluruh Russia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Mikhail Murashko berkata jumlah kes di Russia meningkat secara purata 30 peratus sejak beberapa minggu lalu dan mereka yang berusia antara 30 dengan 40 tahun paling terjejas.

Cik Anna Popova, ketua badan pemautauan kesihatan Russia, Rospotrebnadzor, berkata varian Delta jelas berkembang sejak dua minggu lalu.

Peningkatan angka jangkitan berlaku ketika pihak berkuasa berusaha menggalakkan penduduk mendapatkan vaksin sejak kempen vaksin percuma dilakukan pada Disember lalu.

Hingga kini hanya 1.8 juta daripada 12 juta penduduk Moscow telah mendapatkan vaksin.

Menurut laman web Gogov, sejak Disember lalu, hanya 19 juta daripada 146 juta populasi keseluruhan negara itu telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Russia mengatasi Britain sebagai negara Eropah yang mencatatkan kematian tertinggi dengan 127,992 kes.

Bagaimanapun, agensi statistik Rosstat, yang menggunakan definisi klinikal kematian berkaitan Covid-19, mengatakan sekurang-kurangnya 270,000 penduduk Russia meninggal dunia akibat koronavirus. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg