Topik diikuti
Pergi ke BHkuVarian Delta telah menular di Brunei
Varian Delta telah menular di Brunei
PENULARAN virus varian Delta di Brunei telah disahkan selepas negara itu menghantar sampel virus ke luar negara untuk diuji.
"Hasil ujian makmal menunjukkan bahawa semua 20 sampel yang dikirim adalah varian Delta," ujar kementerian kesihatan Brunei dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
"Varian Delta diketahui dua hingga tiga kali lebih mudah berjangkit daripada varian lain.
"Namun, langkah pencegahan dan pengendalian varian Covid-19 tetap sama," kata kementerian itu.
Sebelum pengesanan tujuh kes tempatan pada 7 Ogos lalu, Brunei telah mencatat 457 hari tanpa sebarang jangkitan masyarakat.
Pada 24 Ogos lalu, negara itu mencatatkan dua kes kematian akibat koronavirus itu, kematian pertama sejak lebih setahun memerangi pandemik itu.
Seorang wanita 85 tahun dan lelaki 69 tahun, kededuanya rakyat Brunei, meninggal dunia akibat berlaku jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke pusat kuarantin, kata kementerian itu.
Menghadapi gelombang baru penularan, negara itu telah memperkenalkan langkah-langkah pengawalan paling ketat dalam dua hari dengan segera hingga 21 Ogos.
Ia menutup tempat ibadah, sekolah beralih kepada pembelajaran dalam talian, tidak dibenarkan makan di restoran, penutupan kemudahan sukan dalam ruang dalaman dan luaran, pusat riadah dan pawagam.
Negara Asia Tenggara dengan penduduk sekitar 450,000 orang itu juga melarang sebahagian besar perhimpunan besar-besaran, mewajibkan semua pekerja sektor yang tidak penting melakukan kerja dari rumah dan melarang semua penduduk meninggalkan rumah mereka kecuali jika ada perkara penting.
Brunei kemudian melanjutkan langkah sekatan Covid-19 itu bagi tempoh dua minggu lagi hingga 4 September setelah negara itu merekodkan 122 lagi kes positif pada 21 Ogos.
"Mengambil kira situasi sekarang masih tidak stabil di Brunei Darussalam, dengan ini diumumkan langkah sekatan yang diketatkan dan diumumkan ketika sidang media Kementerian Kesihatan pada 7 dan 9 Ogos 2021, dilanjutkan sehingga Sabtu, 4 September 2021," kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Sementara itu, dalam usaha membantu Brunei menangani penularan Covid-19, Singapura telah menyumbang 100,000 dos vaksin Moderna kepada negara itu.
"Sumbangan ini merupakan sebahagian hasrat kedua-dua pemerintah untuk mempererat kerjasama dan memperluas usaha saling menyokong untuk memerangi wabak ini bersama-sama," kata Kementerian Ehwal Luar (Singapura) dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Baru-baru ini juga, Singapura memperkenalkan Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) yang memberi peluang kepada penduduk di Singapura yang telah divaksin sepenuhnya untuk melancong ke luar negara dan kembali ke sini tanpa perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).
Mulai 8 September, pelancong yang sudah lengkap divaksin dari Jerman atau Brunei, termasuk rakyat Singapura, boleh masuk Singapura tanpa perlu jalani SHN di bawah aturan laluan tersebut.- Agensi berita.