CARACAS: Venezuela telah mengemukakan tuduhan "pengganasan, konspirasi" ke atas dua bekas anggota tentera Amerika Syarikat kerana didakwa mengambil bahagian dalam satu tindakan serangan, namun gagal, untuk menjatuhkan Presiden Nicolas Maduro, menurut peguam negara semalam.
Luke Alexander Denman, 34 tahun, dan Airan Berry, 41 tahun, merupakan diantara 17 orang yang ditangkap tentera Venezuela yang berkata, mereka berjaya mematahkan cubaan serangan oleh kumpulan berani mati ini pada awal pagi Ahad lalu.
Peguam Negara, Encik Tarek William Saab berkata, mereka telah dikenakan tuduhan "pengganasan, konspirasi, penyeludupan senjata perang dan persatuan jenayah" dan boleh dipenjara antara 25 hingga 30 tahun.
Lapan penyerang dilaporkan terbunuh dalam percubaan serangan itu.
Encik Saab berkata, Venezuela telah memohon waran tangkap antarabangsa bagi penangkapan bekas askar perubatan Amerika, Jordan Goudreau , yang menganjurkan dan melatih pasukan berani mati itu.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyangkal dakwaan kononnya Amerika berperanan dalam tindakan pencerobohan serangan itu bagi mengguling Presiden Nicolas Maduro.
"Jika saya ingin masuk ke Venezuela, saya tak akan merahsiakannya," ujarnya kepada Fox News. - AFP