KERAJAAN Arab Saudi sedang melakukan beberapa pembaharuan dan transformasi untuk mempelbagai ekonominya, agar tidak bergantung pada minyak saja. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia mengambil beberapa langkah untuk menjadikan negara itu lebih menarik kepada pelancung dari merata dunia.
Antara lain, proses permohonan visa telah dipermudah. Rakyat Singapura dan negara-negara yang layak boleh memohon e-visa. Apabila saya membuat permohonan dalam talian bagi visa pada Oktober 2022, saya diberi visa berbilang perjalanan dalam lima minit sahaja.
Visa yang diberi ialah bagi setahun, dengan setiap kali masuk dibenarkan tinggal di negara itu selama 90 hari. Bagi warga negara lain yang layak memohon e-visa, mereka boleh mendapatkannya apabila tiba di sana.
Arab Saudi juga baru-baru ini mula mengeluarkan visa empat hari bagi mereka yang singah dalam perjalanan. Mereka yang menaiki penerbangan Saudia akan diberi hadiah penginapan satu malam di hotel.
Lembaga pelancongan juga telah menyiapkan beberapa program kunjungan untuk satu hingga empat hari, bagi membantu pengunjung melakukan lawatan dengan cukup memuaskan, menggalak mereka melawat enam tempat Warisan Dunia Unesco, menghayati keindahan alam semula jadi, seperti kegiatan menyelam di Laut Merah atau kegiatan mendaki di Najd dan banyak lagi.
Semasa persinggahan itu, pelawat juga boleh melakukan kunjungan ke tempat suci di Makkah dan Madinah.
Kerajaan Saudi mempunyai beberapa projek pelancongan besar, seperti bandar salji Qaddiya, Trojena dan Pulau Sindalah, sekadar menyebut beberapa daripadanya. Qaddiya dirancang menjadi sebuah bandar hiburan terbesar di dunia. Ia mungkin tiga kali lebih besar daripada Taman Walt Disney di Florida. Pengunjung dapat menikmati lebih 300 kemudahan, termasuk taman tema, taman air dan bandar sukan.
Bandar salji Trojena pula sebuah destinasi lima bintang yang akan dibangunkan di Taif. Ia menyediakan kemudahan unik dengan kegiatan melungsur dalam iklim padang pasir.
Kepulauan Sindalah akan menjadi pintu masuk ke Laut Merah, menyediakan pelbagai kegiatan laut dan dijangka mula menerima pelawat menjelang awal 2024. Pulau mewah ini juga akan mempunyai kelab kapal layar, tiga pusat peranginan mewah, spa, lebih 50 jenama terkemuka dan 86 jeti.
Projek mega visi 2030 ini dijangka mengubah landskap Arab Saudi. Sebilangan pelancong telah mula berkunjung ke Arab Saudi, sebelum projek itu siap dan mula beroperasi.
Ada pihak khuatir projek mega seperti itu boleh menjejas keindahan alami tempat-tempat tersebut. Mereka ke Laut Merah untuk kegiatan snorkeling dan menyelam serta safari padang pasir.
Arab Saudi selalunya dikaitkan dengan lawatan keagamaan, iaitu haji dan umrah. Makkah dan Madinah adalah tempat suci bagi ibadah umrah.
Saya, isteri dan anak lelaki saya yang berusia 23 tahun melakukan umrah pada November 2022 bersama sebuah lagi keluarga. Kami tidak menggunakan khidmat ejen pelancongan, sebalik pergi sendiri.
Kunjungan kami ke Madinah dan Makkah selama 10 hari. Pada mulanya, saya fikir 10 hari itu terlalu lama. Sebelum itu, saya melakukan umrah yang saya sifatkan seperti umrah kilat. Setiap kali berada di Jeddah, saya akan memandu ke Masjidil Haram di Makkah pada waktu malam, kerjakan ibadah umrah dan pulang ke Jeddah.
Kunjungan terakhir kami adalah amat menggembirakan. Banyak yang dapat kami nikmati, dari segi keagamaan mahupun sekular. Sudah tentu, Masjidill Haram kemuncaknya, serta Kaabah dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid Nabawi tersergam indah.
Saya telah berkunjung ke banyak tempat bersejarah dan masjid di dunia, tetapi selain Masjidill Haram dan Kaabah, tiada yang lain seindah Masjid Nabawi.
Di Madinah, selepas berkunjung ke Masjid Nabawi, anda boleh melakukan lawatan ke tempat-tempat lain dengan menaiki bas di perhentian bas Shazah, yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi.
Perjalanan dengan bas ini cukup menarik untuk melihat kota Madinah dengan bantuan pemandu pelancong. Anda akan dapat menghayati keindahan tempat-tempat di kota suci ini di samping berbelanja.
Antara tempat yang harus anda kunjungi ialah gua Bani Haram, Gunung Uhud, Masjid Quba dan telaga Ethq. Gua Bani Haram simbol medan perang, di mana umat Islam mencapai kemenangan walaupun bilangan pejuangnya kecil dan berlaku pengkhianatan dalam kalangan beberapa orang Islam.
Gunung Uhud adalah medan perang Uhud. Terdapat tanah perkuburan 70 pejuang yang gugur syahid.
Nabi Muhammed saw dan Sayidina Abu Bakr Al-Siddiq berehat dan minum di telaga Ethq semasa berkunjung ke Madinah selepas berhijrah buat kali pertama.
Masjid Quba pula dibangunkan oleh Nabi saw.
Muzium sejarah Islam di Madinah amat bermanfaat. Terdapat pemandu pelancong yang boleh bertutur banyak bahasa dan mereka amat mesra dengan pengunjung.
Satu lagi tempat menarik adalah Wadi E Jinn, yang menurut kisahnya, makhluk jin tinggal di situ. Menurut kisah, kenderaan lalu di situ, turun dan naik bukit, dengan enjin tidak dihidupkan.
Fenomena ini dikenali sebagai "kesan graviti terbalik" kerana terdapat kuasa semberani yang cukup tinggi di beberapa tempat di bukit itu. Tetapi saya lebih suka mendengar kisah jin.
Dari segi makanan, walaupun masakan Arab Saudi tidak begitu terkenal di dunia antarabangsa, makanan di sini segar dan enak dan bermacam-macam. Makanan antarabangsa dan makanan segera terdapat di sana. Antara yang paling digemari ialah makanan tempatan Al-Beik, ayam panggang dan shawarma. Restoran Yaman dan rumah makan nasi mandhi amat popular dan banyak terdapat di Arab Saudi.
Daripada yang murah hinggalah yang mahal, ia mudah dikunjungi. Harga hidangannya juga berbaloi. Antara restoran Yaman di Mekah yang saya gemari ialah restoran Qisah Yeman (bermaksud Kisah Yaman).
Terletak kira-kira 30 minit perjalanan dengan kereta, suasana dan makanannya amat baik. Ia mempunyai bilik makan keluarga. Hanya satu hal yang kurang selesa ialah untuk mendapatkan teksi atau kereta sewa untuk pulang.
Bagaimanapun, di Makkah dan juga banyak bandar di negara Teluk, kereta privet juga boleh mengambil penumpang. Namun, beberapa kereta privet ini mengenakan tambang yang tinggi. Anda bertuah kalau kebetulan ada yang menawarkan perjalanan secara percuma.
Suasana dan perasaan semasa di Masjidil Haram dan di hadapan Kaabah amat luar biasa. Anda juga boleh berkunjung ke padang Arafah yang benar-benar menjadi kawasan perhimpunan umat manusia. Pusat beli-belah di Menara Jam amat mengasyikkan. Di lantai paling atasnya terdapat muzium jam.
Pada hari kelima kami berada di Makkah sebelum pulang, kami berasa mahu tinggal lebih lama.
Arab Saudi kini lebih mudah dikunjungi. Pembaharuan sosial juga telah merubah landskap pelancongan di negara itu. Rakyat dan orang-orang di situ selalu ramah.
Lebih ramai pelancong sekular akan tiba di Arab Saudi, terutama apabila projek-projek mega pelancongan di bawah Visi 2030 siap kelak.
Satu hal yang masih menjadi pertanyaan ialah, bagaimana masyarakat Arab Saudi yang konservatif itu menyesuaikan diri dengan kebanjiran pengunjung bukan Islam ke negara itu?
Penulis tamu DR AMEEN TALIB


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg