Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wang median simpanan pekerja 8.1j pencarum M'sia merosot 50%

Feb 17, 2023 | 5:30 AM
bc215eca-b382-40b0-9d63-5b4c58e0817d
-

KUALA LUMPUR: Lebih 8.1 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyaksikan median simpanan mereka menurun sebanyak 50 peratus pada 2022.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata penurunan itu adalah selepas kerajaan Malaysia membenarkan pencarum mengeluarkan sumbangan mereka semasa kemuncak penularan wabak Covid-19 dan perintah sekatan dilaksanakan.

"Median simpanan bagi semua kaum pencarum KWSP turun daripada RM16,600 ($5,031) pada 2016 kepada RM8,100 pada 2022.

"Mengikut kaum pula, kira-kira tujuh juta pencarum KWSP Melayu mempunyai simpanan median RM16,900 pada April 2020, dan kini mereka hanya mempunyai purata RM5,500.

"Ahli Bumiputera lain, kira-kira 1.4 juta daripada mereka kini tinggal dengan purata simpanan RM3,300 sahaja daripada purata RM10,600," katanya di Parlimen pada Khamis.

Datuk Ahmad, yang juga Ahli Parlimen (AP) Pontian, berkata ini adalah sebab kenapa kerajaan tidak boleh membenarkan pengeluaran KWSP lagi.

"Sekarang (secara purata) pencarum mempunyai RM5,500, RM3,300... bagaimana kita boleh benarkan pengeluaran lagi?" katanya, lapor New Straits Times.

Pengeluaran KWSP kali pertama dibenarkan pada April 2020, apabila pencarum di bawah umur 55 tahun boleh mengeluarkan maksimum RM500 sebulan buat tempoh 12 bulan.

Inisiatif i-Lestari, yang diperkenalkan semasa pemerintahan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah salah satu cara yang dipersetujui Majlis Tindakan Ekonomi untuk mengurangkan beban rakyat semasa pandemik Covid-19.

Sejak itu, kerajaan turut memperkenalkan skim i-Sinar dan i-Citra.

Pada Rabu, Tan Sri Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), mengulangi gesaan agar pengeluaran KWSP yang disasarkan dibenarkan.

Beliau berkata langkah itu akan membantu meringankan beban rakyat, sambil menambah bahawa "tiada salah" kerajaan menimbangkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.

Beliau juga berharap kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memajukan ekonomi negara serta memelihara kebajikan rakyat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg