NEW DELHI: Seorang wanita India yang melahirkan anak pada usia 70 tahun, berkata pada Selasa (10 Mei) beliau tidak terlalu tua untuk menjadi ibu kali pertama, sambil menambah bahawa hidupnya kini lengkap.
Cik Daljinder Kaur melahirkan seorang anak lelaki bulan lalu selepas dua tahun menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) di sebuah klinik kesuburan di negeri utara Haryana dengan suaminya, yang berusia 79 tahun.
Beliau berkata mereka, yang telah berkahwin 46 tahun, hampir hilang harapan mempunyai cahaya mata dan menghadapi cemuhan di negara di mana kemandulan kadang-kadang dilihat sebagai kutukan daripada Tuhan.
"Tuhan dengar doa kami. Hidup saya berasa lengkap sekarang. Saya menjaga sendiri bayi saya, saya berasa amat bertenaga. Suami saya juga sangat prihatin dan membantu saya seberapa banyak yang dia boleh," kata Cik Kaur dari bandar utara Amritsar.
"Apabila kami melihat iklan (IVF) itu, kami fikir kami juga perlu mencubanya kerana saya sangat-sangat mahu mempunyai aayi saya sendiri," katanya.
Cik Kaur berkata umurnya kira-kira 70 tahun, senario biasa di India di mana ramai orang tidak mempunyai sijil kelahiran, manakala klinik itu berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau berusia 72 tahun.
Bayi itu, yang dinamakan Armaan, dikandung menggunakan telur dan dan sperma pasangan tersebut sendiri dan sekarang "sihat walafiat" selepas berat badannya hanya dua kilogram semasa lahir pada 19 April, ujar Pusat Kesuburan dan Tabung Ujian Nasional.
"Orang kata apa akan berlaku kepada anak kami apabila kami mati. Tetapi saya yakin sepenuhnya pada Tuhan. Tuhan maha kuasa dan maha wujud, dia akan jaga segala-galanya," kata suami Cik Kaur, Encik Mohinder Singh Gill, yang mempunyai sebuah ladang di luar Amritsar.
Ini bukan kes pertama di India, kerana seorang wanita berusia 72 tahun dari Uttar Pradesh dilapor melahirkan sepasang kembar pada 2008, juga melalui IVF. - AFP