Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TALEBAN LARANG PELAJAR WANITA KE UNIVERSITI

Wanita Afghan protes langkah Taleban; Dunia, negara Islam lain juga turut bidas

Dec 24, 2022 | 05:30 AM



KABUL: Semua universiti di Afghanistan diisytiharkan sebagai kawasan larangan bagi wanita, berikutan perintah mengharamkan mereka mengikuti pengajian, termasuk perintah berpakaian yang betul, kata Menteri bagi Pengajian Tinggi Taleban kelmarin.



Pengharaman itu, yang diumumkan awal minggu ini, adalah sekatan terbaru terhadap hak asasi wanita di Afghanistan yang di bawah pemerintahan Taleban sejak mereka mengambil alih kuasa pada Ogos tahun lalu.



Langkah itu mencetuskan bantahan global, termasuk dari negara-negara Islam, yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.



Negara-negara perindustrian Kumpulan Tujuh (G7) juga mengatakan larangan itu adalah suatu bentuk "jenayah terhadap kemanusiaan".



Tetapi, Encik Neda Mohammad Nadeem, menteri bagi pendidikan tinggi dalam pemerintah Taleban, menegaskan kelmarin bahawa para pelajar wanita telah mengabaikan ajaran Islam - termasuk cara berpakaian dan perlunya ditemani oleh saudara lelaki - apabila dalam perjalanan.



"Malangnya selepas 14 bulan, perintah dari Kementerian Pendidikan Tinggi mengenai pendidikan bagi wanita itu tidak dilaksanakan," kata Encik Nadeem dalam satu wawancara televisyen.



"Mereka berpakaian seolah-olah mahu menghadiri majlis perkahwinan.



"Gadis-gadis yang pergi ke universiti dari rumah mereka juga tidak mematuhi arahan memakai hijab."



Encik Nadeem juga berkata, beberapa matapelajaran sains tidak sesuai untuk wanita.



"Kejuruteraan, pertanian dan beberapa kursus lagi tidak setara dengan kehormatan wanita dan juga budaya Afghan," kata beliau.



Pihak berkuasa juga telah memutuskan untuk menutup madrasah khusus bagi pelajar wanita, tetapi ditempatkan dalam masjid-masjid, kata Encik Nadeem lagi.



Pengharaman ke atas pendidikan universiti itu dibuat tiga bulan selepas ribuan pelajar wanita dibenarkan menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti, kebanyakan mereka berharap untuk memasuki kerjaya dalam bidang perubatan dan guru.



Sekolah-sekolah menengah bagi pelajar perempuan telah ditutup di hampir seluruh negara itu sejak lebih setahun lalu dan berbagai alasan diberikan tentang mengapa sekolah-sekolah itu tidak dibuka semula.



Kaum wanita semakin ditekan daripada keluar di khalayak ramai sejak Taleban kembali berkuasa.



Mereka juga telah banyak dilepaskan daripada bekerja dengan pemerintah, atau dipotong gaji mereka supaya mereka diam di rumah sahaja.



Mereka juga dilarang berjalan tanpa ditemani saudara lelaki dan harus menutup tubuh apabila berada di tempat-tempat awam.



"Penganiayaan jantina sama dengan jenayah terhadap kemanusiaan menurut Piagam Rome, yang turut disertai oleh Afghanistan.



"Dasar-dasar Taleban itu adalah untuk menyisihkan wanita daripada kehidupan awam dan akan menentukan bagaimana kita akan berurusan dengan mereka," kata para menteri G7.



Masyarakat antarabangsa telah menjadikan hak wanita mendapatkan pendidikan sebagai salah satu perkara dalam rundingan bagi mengiktiraf rejim Taleban.



Arab Saudi juga turut menzahirkan kebimbangan dan kesal atas pengharaman itu, sambil menggesa Taleban supaya menarik balik perintah tersebut.



Tetapi Encik Nadeem membalasnya dengan mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa "tidak harus mencampuri urusan dalam negeri Afghanistan". - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >