SYDNEY: Seorang wanita Britain terbunuh manakala seorang lelaki Britain cedera kritikal selepas seorang warga Perancis didakwa menikam tiga orang sambil mengucapkan 'Allahu akbar' di asrama pelancong backpacker di Australia, kata polis pada Rabu (24 Ogos).
Kejadian itu berlaku lewat Selasa (23 Ogos) di Home Hill, sebuah pekan luar bandar di selatan Townsville, utara Queensland, ujar Timbalan Pesuruhjaya Steve Gollschewski kepada pemberita di Brisbane.
Beliau berkata polis dipanggil ke asrama itu pada kira-kira 11.15 malam dan mendapati seorang wanita berusia 21 tahun maut sementara seorang lelaki berusia 30 tahun dalam keadaan kritikal.
Seorang lelaki tempatan turut cedera dalam serangan itu, tetapi telah keluar hospital, katanya.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa komen yang boleh ditafsirkan sebagai bersifat pelampau telah dibuat oleh suspek pesalah," katanya.
Suspek dikatakan menggunakan ungkapan 'Allahu akbar' ketika ditangkap polis.
Apabila ditanya apakah warga Perancis berusia 29 tahun yang ditahan polis itu ada hubungan dengan kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), Encik Gollschewski berkata "tidak" dan menambah tidak ada ancaman berterusan ke atas masyarakat.
"Pada peringkat ini tidak ada tanda-tanda... selain daripada fakta bahawa dia bertindak sendirian," ujar Komander Polis Federal Australia Komander Sharon Cowden dalam sidang media yang sama.
"Ia satu kejadian mengejutkan dan masyarakat perlu sentiasa berhati-hati. Dia berada di Australia secara sah dan pada peringkat ini dia tidak dikenali oleh sembarang pihak berkuasa." - AFP