Wanita Indonesia dipenjara 20 tahun kerana bunuh kawan dengan racun

JAKARTA: Sebuah mahkamah daerah Jakarta mendapati seorang wanita Indonesia bersalah membunuh rakannya dengan membubuh racun sianida ke dalam air kopinya, dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun pada Khamis (27 Okt).

Mahkamah berkata pihak pendakwaan telah membuktikan dengan "meyakinkan" bahawa Jessica Kumala Wongso, 28 tahun, melakukan pembunuhan terancang itu.

"Tindakannya menyebabkan kematian Wayan Mirna Salihin," kata hakim Kisworo, merujuk kepada mangsa berusia 27 tahun itu.

"Tindakannya ke atas rakannya sendiri amat dikesali dan sadis... dia tidak menyesal dan tidak mengaku melakukan perbuatan itu."

Dewan mahkamah, yang penuh dengan penyokong Cik Wayan yang kemeja-T dan pin 'Keadilan buat Mirna', bersorak dan memberi tepukan.

Jessica, 28, yang kekal tenang ketika keputusan dibacakan, berkata hukuman penjara 20 tahun itu "tidak adil dan berlebihan".

Peguamnya berkata mereka "bimbang dan kecewa" dengan keputusan mahkamah dan merancang memfailkan rayuan.

Orang ramai mengikuti kes itu dengan rapat sejak perbicaraan bermula pada Jun. Perbicaraan pada Khamis itu disiarkan secara langsung oleh beberapa rangkaian berita Indonesia.

Kes ini juga menarik minat di Australia, tempat Jessica, seorang penduduk tetap negara itu, dan Cik Wayan pelajar di sebuah maktab reka bentuk di Sydney.

Polis Australia bersetuju membantu hanya selepas mendapat jaminan Jessica tidak akan dikenakan hukuman mati jika dia didapati bersalah membunuh, yang membawa hukuman mati di Indonesia.

Cik Mayan rebah dan meninggal dunia selepas minum kopi beracun itu di sebuah kafe mewah di Jakarta pada Januari lalu.

Jessica menafikan melakukan jenayah itu sejak awal.

Pihak pendakwaan berhujah Cik Mayan dibunuh rakannya itu selepas beliau menasihatkannya supaya meninggalkan teman lelakinya yang didakwa menggunakan dadah.

Mereka juga berkata Jessica merancang pembunuhan itu "dengan teliti".

Bersetuju, Hakim Partahi Tulus Hutapea berkata tindakan Jessica itu "sengaja" dan "terancang" kerana dia tiba di kafe tersebut hampir sejam awal untuk memesan minuman, dan berkelakuan mencurigakan.

"Dia kelihatan cemas sementara menunggu rakannya tiba... dia juga enggan merasa minuman itu apabila Cik Wayan berkata ia 'teruk'," kata beliau.

"Defendan orang yang paling berkemungkinan membubuh sianida dalam kopi itu."

Beliau menolak hujah pembelaan bahawa tiada bukti Cik Wayan mati akibat keracunan sianida, sambil berkata 298 miligram sianida dalam seteguk kopi "jauh lebih besar daripada had dos maut".

Hakim juga berkata Jessica marah Cik Wayan kerana mengkritik teman lelakinya dan cemburu dengan kehidupan bahagia sahabatnya itu.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.