OTTAWA: Seorang wanita di Kanada, mengejutkan ramai, apabila beliau disahkan positif Covid-19 sebanyak lapan kali sejak Mac lalu.
Akhbar The New York Post melaporkan semalam, Cik Tracy Schofield dari Cambridge, Ontario, akan mengambil ujian untuk kali ke-10.
Sejauh ini beliau disahkan belum bebas daripada virus itu selepas menjalani sembilan saringan.
Wanita itu berkata, dia mengalami gejala Covid-19 termasuk demam dengan suhu 41 darjah Celcius, menggigil dan sesak nafas pada 30 Mac.
Dia disahkan positif virus berkenaan untuk pertama kalinya pada esoknya.
Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit perlu disahkan negatif menerusi dua ujian diadakan berturut-turut sebelum boleh diisytiharkan bebas virus berkenaan.
Selepas lebih 50 hari beliau ditukil saluran televisyen CTV, sebagai masih mengalami sesak nafas.
Wanita itu yang tinggal bersama anaknya yang berusia 17 tahun berkata, dia tidak mempunyai masalah kesihatan tetapi bimbang virus itu menyebabkannya berisiko terdedah kepada penyakit lain.
Profesor Immunologi di Universiti Waterloo di Ontario, Brian Dixon, berkata, terdapat kebarangkalian ujian saringan memberi keputusan salah.
"Ia memandangkan individu hanya memberi sampel yang kecil daripada badan mereka," katanya. - Harian Metro, The New York Post, Agensi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg