Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita pertama dipilih bagi jawatan setiausaha Tentera Amerika

Apr 14, 2021 | 5:30 AM
779570bc-7853-4766-94f2-722ef5d1139e
-

WASHINGTON: Presiden Joe Biden memilih Christine E. Wormuth sebagai wanita pertama untuk berkhidmat sebagai setiausaha Tentera, menurut pegawai Pentagon kelmarin.

Jika diluluskan oleh Senat, Wormuth, yang merupakan antara pegawai kanan dalam Jabatan Pertahanan di akhir tempoh pentadbiran mantan presiden Barack Obama, akan memimpin cawangan tentera terbesar sedang tentera di negara itu menghadapi cabaran yang pelbagai.

Ini termasuk usaha menyingkirkan pelampau sayap kanan dari barisan mereka dengan ancaman yang semakin meningkat dari China dan Russia.

Cik Wormuth, yang berada dalam pasukan peralihan Pentagon Biden selepas pilihan raya, akan bergabung dengan wanita lain yang dilantik dalam jawatan tinggi di Pentagon termasuk penolong setiausaha pertahanan Kathleen Hicks dan ketua staf kepada Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin, Kelly Magsamen.

Pentadbiran Biden dikritik kerana lambat mencalonkan pegawai bagi jawatan tertinggi di Pentagon, termasuk jawatan perkhidmatan awam berpangkat tinggi untuk memantau Tentera Darat, Laut, Udara dan Kor Marin.

Dalam banyak kes, cawangan khidmat dan bahagian penting lain di Jabatan Pertahanan telah dikendalikan oleh pegawai sementara dalam tempoh beberapa bulan pertama pentadbiran tersebut.

Cik Wormuth telah memulakan kerjayanya dengan pemerintah pada 1996 di pejabat dasar Pentagon, yang dipimpinnya dari 2014 hingga 2016.

Semasa tempoh pentadbiran Encik Obama, beliau berkhidmat sebagai penghubung utama antara Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih dengan Pentagon berkaitan isu pertahanan.

Cik Wormuth juga pernah memegang jawatan kanan yang berurusan dengan keselamatan antarabangsa dan dasar pertahanan di dua institusi kajian di Washington, Rand Corp dan Pusat bagi Kajian Strategik dan Antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin akur "kepakaran Wormuth dalam menghadapi dan mencegah ancaman global hari ini" termasuk ancaman dari China, Russia, Iran dan Korea Utara.

Sebagai ketua setiausaha bagi dasar, Cik Wormuth memberi tumpuan pada kempen menangani ISIS dan mencapai keseimbangan antara hubungan Asia dan Amerika dengan negara Eropah, Asia dan Timur Tengah.

Pada 2007, Cik Wormuth berkhidmat sebagai pengarah staf untuk Suruhanjaya Bebas berkaitan Pasukan Keselamatan Iraq, juga dikenali sebagai 'Suruhanjaya Jones'.

Beliau telah ke Iraq bersama suruhanjaya itu, yang menumpukan terhadap ketersediaan pasukan polis Iraq. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg